
SUNGAI SIPUT, 19 November – Seorang warga emas Orang Asli maut dipercayai akibat serangan harimau ketika masuk ke hutan untuk mencari buluh di kawasan Lata Serai, Kampung Bawong di sini pada Rabu.
- Mangsa, Ngah Itam, 65, bapa tunggal kepada lima anak, disahkan meninggal dunia.
- ADUN Lintang, Datuk Zolkafly Harun, dimaklumkan oleh Ketua Balai Polis Lintang selepas pulang mesyuarat.
- Insiden ini merupakan kes serangan harimau kedua meragut nyawa penduduk Sungai Siput dalam hampir dua bulan.
- Pihak berkuasa diminta tingkatkan pemantauan keselamatan; penduduk dinasihatkan berwaspada, menjauhi lokasi kejadian dan patuhi arahan.
Mangsa, Ngah Itam, 65, yang merupakan bapa tunggal kepada lima anak disahkan meninggal dunia dalam kejadian tersebut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang, Datuk Zolkafly Harun berkata, beliau dimaklumkan mengenai insiden terbabit oleh Ketua Balai Polis Lintang sejurus pulang daripada menghadiri Mesyuarat Penyelarasan MEXCLUB Kali Ke-62 di Desaru, semalam.
“Insiden berkenaan merupakan kes serangan harimau kedua yang meragut nyawa penduduk di kawasan Sungai Siput dalam tempoh hampir dua bulan.
“Sebelum ini pada 21 September lalu, seorang penduduk Kampung Takong, Pos Perwor turut terkorban selepas dipercayai diserang harimau ketika mencari rotan di hutan,” katanya menerusi Facebooknya.
“Saya berharap pemantauan serta langkah keselamatan di kawasan berisiko dapat dipertingkat dengan segera bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
“Penduduk Kampung Bawong dan kawasan berhampiran juga dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada, menjauhi lokasi kejadian dan mematuhi setiap arahan pihak berkuasa,” ujarnya.
Beliau yang juga Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham dan mendoakan agar mereka diberi ketabahan menghadapi ujian tersebut.