
GENEVA, 19 November – Ketua Pengarah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) Rafael Grossi pada Rabu menggesa supaya usaha diplomasi dan rundingan berhubung program nuklear Iran disambung semula, sambil memberi amaran bahawa ia masih tidak dapat menjalankan aktiviti pengesahan penting di kebanyakan kemudahan nuklear yang diisytiharkan negara itu.
- IAEA tidak menerima maklumat atau akses verifikasi bagi kebanyakan kemudahan nuklear Iran, kecuali loji janakuasa Bushehr.
- Agensi kehilangan kesinambungan pengetahuan mengenai inventori uranium yang diisytiharkan, termasuk uranium diperkaya sehingga 60 peratus.
- Tehran digesa melaksanakan langkah teknikal berperingkat bagi membolehkan pemeriksa IAEA kembali dan memulihkan suasana saling percaya.
“Kembali kepada diplomasi dan rundingan bagi mencari penyelesaian terhadap isu berkaitan program nuklear Iran adalah amat penting,” kata Grossi dalam kenyataan pengenalannya pada mesyuarat Lembaga Gabenor IAEA di Vienna, lapor Anadolu Ajansi.
Beliau berkata agensi itu tidak menerima sebarang maklumat daripada Iran berhubung status bahan nuklear dan kemudahan yang diisytiharkan negara itu, kecuali loji janakuasa nuklear Bushehr, selain tidak diberikan akses untuk menjalankan pengesahan di lokasi.
Grossi memberi amaran bahawa agensi itu kehilangan kesinambungan pengetahuan mengenai inventori uranium yang sebelum ini diisytiharkan, termasuk uranium yang diperkaya sehingga 60 peratus, susulan serangan ketenteraan pada Jun 2025.
Tanpa akses dan maklumat terkini, IAEA tidak dapat menentukan sama ada bahan nuklear yang diisytiharkan dialihkan daripada kegunaan untuk tujuan aman, katanya.
Grossi menggesa Tehran agar mempertimbangkan pelaksanaan langkah teknikal secara berperingkat bagi membolehkan pemeriksa IAEA kembali menjalankan tugas mereka.
“Langkah teknikal secara berperingkat dan beransur-ansur boleh membuka jalan kepada pelaksanaan langkah perlindungan secara normal di Iran, selain menyumbang kepada pembentukan suasana saling percaya yang kondusif bagi mencapai persetujuan lebih menyeluruh,” katanya.- BERNAMA