
ANTALYA, 18 November – Malaysia menggesa negara maju meningkatkan bantuan kewangan berbentuk geran kepada negara membangun yang kaya dengan kepelbagaian biologi.
- Pembiayaan iklim dan kaedah pelaksanaan mesti sepadan dengan aspirasi, serta menyediakan mekanisme berkesan bagi negara membangun melaksanakan tindakan iklim.
- Malaysia menekankan pemuliharaan hutan dan perlindungan biodiversiti termasuk kepentingan menjaga kawasan tanah gambut.
- Komitmen negara termasuk tidak membangunkan loji janakuasa arang batu baharu dan peralihan berperingkat daripada bahan api fosil.
- Fenomena El Nino serta Laporan Jurang Pelepasan UNEP memberi amaran risiko gelombang haba, kemarau, kebakaran hutan dan peningkatan suhu global.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, langkah itu bagi memperkukuh pemuliharaan hutan dan perlindungan biodiversiti.
“Pembiayaan iklim dan kaedah pelaksanaan perlu sepadan dengan skala aspirasi kita, selain menyediakan mekanisme yang lebih berkesan bagi membolehkan negara membangun melaksanakan tindakan menangani perubahan iklim,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan kenyataan negara pada Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP31) di Antalya, Turkiye, di sini.
Mengulas komitmen Malaysia, Datuk Seri Arthur memaklumkan, sebanyak 54.40 peratus keluasan tanah negara diliputi hutan dan litupan pokok, termasuk kawasan tanah gambut.
Dalam aspek peralihan tenaga, tenaga boleh baharu merangkumi hampir 32 peratus daripada kapasiti terpasang negara setakat 2026.
“Malaysia turut komited dengan dasar untuk tidak membangunkan loji janakuasa arang batu baharu, selain melaksanakan peralihan secara berperingkat daripada bahan api fosil melalui pendekatan teratur dan bertanggungjawab,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata fenomena El Nino tahun ini mengingatkan dunia terhadap risiko gelombang haba, kemarau, kekurangan air, kebakaran hutan dan jerebu rentas sempadan.
Laporan Jurang Pelepasan Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP) 2026 turut memberi amaran bahawa dasar semasa boleh menyebabkan suhu global meningkat kira-kira 2.8 darjah Celsius menjelang akhir abad ini.
Sehubungan itu, Malaysia menyeru COP31 memperkukuh kerjasama antarabangsa bagi memastikan komitmen menangani perubahan iklim diterjemahkan kepada tindakan nyata.