
MANILA, 17 November – Filipina pada Selasa secara rasmi menyerahkan jawatan Pengerusi Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) kepada Singapura, sekali gus menamatkan tempoh setahun menerajui blok serantau itu, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).
- Singapura sebagai Pengerusi ASEAN 2027 akan memperkasakan integrasi lebih mendalam dan memperluas perkongsian serantau dalam kewangan, teknologi digital dan tenaga.
- Filipina kekal komited terhadap kerjasama serantau dengan tiga keutamaan: keamanan, kemakmuran dan pemerkasaan rakyat.
- ASEAN menegaskan kesinambungan kepimpinan kolektif dan usaha praktikal seperti rundingan Kod Tatalaku Laut China Selatan serta kerjasama maritim dan keselamatan.
Presiden Ferdinand R. Marcos Jr. mengetuai upacara penyerahan itu sempena penutupan Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Filipina di Pasay City.
Marcos menyatakan keyakinan bahawa Singapura, selaku Pengerusi ASEAN pada 2027, akan menerajui blok itu dengan “matlamat yang jelas, keteguhan dan komitmen terhadap kerjasama serantau”.
“Hari ini menandakan peralihan secara simbolik Kepengerusian ASEAN kepada Singapura bagi 2027. Kepada Perdana Menteri (Lawrence) Wong dan rakyat Singapura, kami menaruh keyakinan sepenuhnya. Kami menghulurkan persahabatan serta sokongan penuh dan tidak berbelah bahagi,” katanya.
“Sebagai antara anggota pengasas ASEAN, Singapura telah memainkan peranan dalam membentuk komuniti ini sejak penubuhannya. Perjalanan negara itu mencerminkan nilai keterbukaan, hubungan, disiplin dan kerjasama.
“Ketika ASEAN melangkah ke tahun ke-60, adalah bertepatan untuk Singapura kini menerajuinya.”
Dengan Singapura bakal mengambil alih Kepengerusian ASEAN pada 2027, Marcos menegaskan semula komitmen Filipina untuk terus mengambil bahagian secara aktif dalam inisiatif serantau dan menyokong keutamaan pengerusi baharu.
“Hari ini, tampuk kepimpinan beralih daripada satu pengerusi kepada yang seterusnya, dan perjalanan ASEAN kekal sebagai satu usaha yang kita tempuhi bersama. Marilah kita dalam ASEAN sentiasa mengemudi masa depan kita bersama-sama,” kata Marcos.
Penyerahan itu menegaskan semula tradisi kepimpinan kolektif dan kesinambungan ASEAN dalam usaha mencapai keamanan, kestabilan serta kemakmuran bersama di rantau ini.
Majlis berkenaan menandakan berakhirnya Kepengerusian ASEAN oleh Filipina pada 2026 yang bertemakan “Mengemudi Masa Depan Kita, Bersama”.
Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong, menerima tukul rasmi daripada Marcos, menandakan peralihan jawatan pengerusi ASEAN kepada Singapura bagi tahun 2027.
Dalam ucapannya, Wong berkata Singapura akan menerajui blok serantau itu ke arah “integrasi yang lebih mendalam dan perkongsian yang lebih luas” sepanjang tempoh kepengerusiannya.
“Integrasi yang lebih mendalam kerana kita boleh melakukan lebih banyak lagi untuk merealisasikan potensi penuh ASEAN. Ini termasuk memperkukuh hubungan kita dalam bidang kewangan, teknologi digital dan tenaga,” katanya.
“Perkongsian yang lebih luas kerana ASEAN mesti terus bersikap terbuka dan berpandangan ke luar. Ketika dunia semakin berpecah-belah, respons kita adalah dengan terus membina jambatan dan memperkukuh hubungan dengan rakan kita, yang kebanyakannya hadir di sini.”
Sepanjang tempoh kepengerusiannya, Filipina menggariskan tiga keutamaan strategik, iaitu keamanan dan keselamatan, kemakmuran serta pemerkasaan rakyat.
Keutamaan itu menjadi panduan kepada inisiatif negara berkenaan untuk memperkukuh kestabilan serantau, menggalakkan integrasi ekonomi dan memastikan kerjasama ASEAN membawa manfaat nyata kepada rakyatnya.
Antara bidang utama yang diberikan perhatian sepanjang Kepengerusian ASEAN oleh Filipina ialah kerjasama maritim, usaha memerangi jenayah rentas negara, integrasi ekonomi digital, keselamatan tenaga dan pengukuhan kesalinghubungan serantau.
Filipina turut berusaha mencapai kemajuan dalam rundingan Kod Tatalaku (COC) di Laut China Selatan yang bertujuan mewujudkan peraturan dan mekanisme bagi mengelakkan pertikaian daripada terus memuncak.
Marcos sebelum ini menekankan bahawa kekuatan kolektif ASEAN terletak pada keupayaan negara anggotanya untuk bekerjasama walaupun mempunyai perbezaan.- BERNAMA-PNA