
KUALA LUMPUR, 17 November – Seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai pengiring (ADC) Raja Muda Selangor dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas empat pertuduhan menipu seorang doktor wanita sehingga mengalami kerugian RM155,000, Julai lalu.
- Tertuduh dan tunangnya didakwa menipu doktor melalui tawaran hartanah dan kenderaan mewah tidak wujud.
- Tunang, Nurul Nur Syahirah, memperkenalkan tertuduh sebagai suami dan pengawal peribadi Raja Muda Selangor untuk menjerat mangsa.
- Mangsa membuat beberapa pemindahan wang ke akaun tertuduh; penyerahan kenderaan ditangguh berkali-kali sebelum penipuan terbongkar.
- Istana Selangor mengesahkan tertuduh bukan kakitangan; kedua-dua tertuduh didakwa bawah Seksyen 420 dibaca bersama Seksyen 34.
Hakim Norma Ismail menjatuhkan hukuman terhadap Al Zulfadly Alias, 40 tahun dan memerintahkan semua hukuman penjara berjalan serentak bermula dari tarikh tertuduh ditangkap, semalam.
Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama tunangnya, Nurul Nur Syahirah Kamarudin, 37 tahun, didakwa memperdaya mangsa menerusi tawaran pembelian aset hartanah dan kenderaan mewah yang tidak wujud.
Berdasarkan fakta kes, Nurul Nur Syahirah yang juga pesakit kepada mangsa memperkenalkan Al Zulfadly sebagai suaminya, selain mendakwa lelaki itu merupakan pengawal peribadi sulit Raja Muda Selangor yang berupaya mendapatkan kenderaan mewah dan hartanah pada harga lebih rendah.
Terpengaruh dengan tawaran itu, mangsa bersetuju membuat pembayaran bagi pembelian sebuah kenderaan mewah dan dua unit kediaman.
Mangsa kemudian melakukan lima transaksi pemindahan wang dalam talian berjumlah keseluruhan RM155,000 ke akaun bank milik tertuduh pada empat tarikh berasingan, iaitu 2, 3, 18 dan 19 Julai lalu.
Bagaimanapun, penyerahan kenderaan berkenaan ditangguhkan beberapa kali sebelum penipuan itu terbongkar pada 13 Oktober lalu apabila mangsa mendapati lokasi serahan yang dijanjikan kosong.
Semakan dengan pihak Istana Selangor turut mengesahkan tertuduh bukan pegawai khas, pegawai pengiring mahupun kakitangan istana.
Dalam perkembangan berkaitan, Al Zulfadly semalam dijatuhi hukuman penjara setahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Majistret selepas mengaku bersalah menipu seorang selebriti lelaki berhubung tawaran pembelian aset hartanah bernilai RM30,000.
Pada hari sama, tunangnya, Nurul Nur Syahirah turut didakwa di Mahkamah Sesyen atas empat pertuduhan menipu doktor wanita berkenaan, namun mengaku tidak bersalah.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun, selain sebatan dan denda jika sabit kesalahan.