Kerugian jenayah komersial di Pahang turun 24.89 peratus

Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob/ BERNAMA

KUANTAN, 17 November – Kerugian akibat jenayah komersial di Pahang mencatatkan penurunan 24.89 peratus kepada RM62.4 juta bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini, berbanding RM83.1 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jumlah kertas siasatan jenayah komersial meningkat 4.8 peratus kepada 2,754 kertas.
  • Jumlah tangkapan jenayah komersial meningkat 20.6 peratus kepada 2,098 tangkapan.
  • Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang menyita lebih RM458,000 melalui NSRC; lebih RM369,000 dipulangkan kepada mangsa.
  • Kertas pertuduhan jenayah komersial meningkat kepada 1,104 kes berbanding 947 tahun lalu.

Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, penurunan itu direkodkan meskipun jumlah kertas siasatan meningkat 4.8 peratus kepada 2,754 berbanding 2,646 pada tahun sebelumnya.

“Jumlah tangkapan turut meningkat 20.6 peratus kepada 2,098 berbanding 1,740 tangkapan tahun lalu.

“Dalam usaha membantu mangsa penipuan, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang berjaya menyita lebih RM458,000 menerusi Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC).

“Daripada jumlah itu, lebih RM369,000 atau 80.54 peratus berjaya dipulangkan kepada mangsa,” menurutnya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di Kuantan.

Sementara itu, jumlah kertas pertuduhan bagi kes jenayah komersial juga menunjukkan peningkatan kepada 1,104 berbanding 947 pada tahun lalu.

Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pahang merekodkan 9,981 kes bagi tempoh sama, menurun 253 kes berbanding 10,234 kes tahun sebelumnya.

Dari aspek tangkapan, jabatan itu merekodkan 11,533 tangkapan berbanding 11,599 pada tahun lalu.

Nilai rampasan dadah turut mencatatkan penurunan kepada RM9.8 juta berbanding RM26.3 juta pada tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, tangkapan menerusi Langkah-Langkah Pencegahan Khas meningkat kepada 60 berbanding 52 tangkapan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.