
SHENZHEN, 17 November – Kawalan keselamatan di bandar hab teknologi selatan China, Shenzhen, dipertingkatkan menjelang Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang dijadualkan dihadiri pemimpin dunia termasuk Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Presiden Rusia, Vladimir Putin.
- Polis melakukan rondaan, pemasangan penghadang jalan dan sekatan pemeriksaan sementara di beberapa lokasi bandar.
- Jalan raya dan bangunan dihiasi bendera, sepanduk serta papan iklan persidangan.
- Kawalan diperketat di lokasi utama persidangan, hab pengangkutan dan kawasan awam; pemeriksaan tambahan di stesen metro dan bungkusan.
- APEC menghimpunkan 21 ekonomi, hampir 60 peratus KDNK global, dan kira-kira 1,000 wakil membincangkan perdagangan, AI, kesalinghubungan serta pembangunan mampan.
Anggota polis melakukan rondaan di sekitar bandar itu, selain pemasangan penghadang jalan dan sekatan pemeriksaan sementara di beberapa lokasi.
Jalan raya serta bangunan turut dihiasi bendera, sepanduk dan papan iklan sidang kemuncak berkenaan.
Presiden China, Xi Jinping dijadualkan mempengerusikan Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC Ke-33 pada 18 dan 19 November, yang menghimpunkan pemimpin dari seluruh rantau Asia Pasifik.
Mesyuarat kali ini membawa tema ‘Membina Komuniti Asia-Pasifik untuk Mencapai Kemakmuran Bersama’.
Kawalan keselamatan turut diperketat di lokasi utama persidangan, hab pengangkutan dan kawasan awam, dengan pengguna pengangkutan awam berdepan pemeriksaan tambahan di stesen metro.
Pemeriksaan terhadap bungkusan dan barangan penghantaran yang memasuki bandar itu juga dipertingkatkan.
Sidang kemuncak berkenaan turut dijangka menyaksikan pertemuan tiga hala pertama antara Trump, Xi dan Putin pada 19 November, berdasarkan pengumuman dari Washington, Beijing dan Moscow.
Menurut pegawai AS, ketiga-tiga pemimpin dijangka membincangkan isu pelucutan senjata nuklear, perdagangan serta konflik di Iran dan Ukraine.
Bagaimanapun, Washington mengingatkan supaya tiada jangkaan terlalu tinggi terhadap kemungkinan termeterainya sebarang perjanjian besar dalam pertemuan itu.
China sebelum ini menyifatkan pertemuan berkenaan sebagai satu perkembangan yang mempunyai kepentingan besar, selain memaklumkan isu keamanan dunia akan menjadi antara perkara yang dibincangkan.
APEC menghimpunkan 21 ekonomi di rantau Asia Pasifik yang menyumbang hampir 60 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global.
Forum kerjasama ekonomi serantau itu dijangka menghimpunkan kira-kira 1,000 wakil kerajaan dan sektor perniagaan bagi membincangkan perdagangan serantau, kecerdasan buatan (AI), kesalinghubungan serta pembangunan mampan.- AFP