
KIEV, 17 November – Ukraine, Amerika Syarikat (AS) dan wakil Eropah mengadakan rundingan pertama secara bersama berhubung persediaan bagi rundingan akan datang dengan Rusia, ketika Moscow dilaporkan menerima lebih banyak peluru berpandu balistik dari Korea Utara.
- Eropah diwakili sepenuhnya oleh Perancis, Britain, Jerman, Poland, Itali dan EU dalam persiapan rundingan dengan Rusia.
- Utusan AS Jared Kushner dan Steve Witkoff menyertai perbincangan dalam talian bersama wakil Ukraine dan Eropah.
- Zelensky menggesa sekutu Eropah menyalurkan lebih banyak senjata dan mengingatkan orang ramai bersedia untuk kemungkinan serangan Rusia.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky berkata, utusan AS, Jared Kushner dan Steve Witkoff turut menyertai perbincangan secara dalam talian itu.
Beliau berkata, buat pertama kali, Eropah diwakili sepenuhnya oleh pihak yang akan mewakili rantau itu dalam rundingan dengan Rusia kelak.
Wakil dari Perancis, Britain, Jerman, Poland, Itali dan Kesatuan Eropah (EU) dipilih untuk mewakili rantau itu dalam rundingan akan datang bersama Rusia.
Menurut Zelensky, kelima-lima negara berkenaan, EU serta seorang wakil Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) turut menyertai perbincangan terbaharu itu.
“Perbincangan itu bukan mudah, namun terdapat hasil yang dicapai,” katanya tanpa memperincikan hasil berkenaan.
Dalam perkembangan sama, Zelensky memberi amaran bahawa Rusia menerima puluhan peluru berpandu dari Korea Utara setiap bulan.
Sehubungan dengan itu, beliau menggesa sekutu Eropah menyalurkan lebih banyak senjata kepada Ukraine bagi membolehkan negara itu bertindak balas terhadap ancaman Rusia secara setara.
“Malangnya, Rusia menerima lebih banyak peluru berpandu balistik dari Korea Utara. Kita bercakap mengenai puluhan peluru berpandu setiap bulan,” katanya.
Zelensky turut mendakwa Eropah memiliki peluru berpandu yang mampu melaksanakan serangan balas secara berkesan, selain meminta sekutu membantu menangani apa yang disifatkannya sebagai tindakan agresif Rusia di peringkat global.
Korea Utara menjadi antara sekutu terdekat Rusia sejak konflik antara negara itu dengan Ukraine berlaku pada 2022.
Sementara itu, Zelensky turut memberi amaran kepada rakyatnya supaya berwaspada terhadap kemungkinan serangan baharu Rusia.
Beliau mengingatkan orang ramai supaya memberi perhatian kepada amaran ancaman peluru berpandu sepanjang malam hingga esok, susulan maklumat bahawa Rusia sedang membuat persiapan untuk melancarkan serangan.
Zelensky turut menegaskan bahawa Ukraine akan bertindak balas terhadap semua serangan yang dilancarkan Rusia.- AFP