
WASHINGTON, 17 November – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memberi bayangan terbuka untuk melihat Jensen Huang kembali menerajui syarikat pengeluar cip kecerdasan buatan (AI), Nvidia, selepas beliau meletakkan jawatan minggu lalu susulan kontroversi dakwaan kegiatan pengintipan.
- Kempen awam lebih 158,000 tandatangan menuntut Huang dikembalikan, disokong tokoh seperti Elon Musk dan pengasas bersama Uber.
- Jabatan Perdagangan menutup kelompongan peraturan untuk menghalang syarikat China mengakses cip AI canggih melalui pusat data di negara lain.
- Trump mempersoal dakwaan Alice Huang sebagai ejen pengintip, menafikan pernah diberitahu risikan oleh Marco Rubio.
Trump berkata, beliau tidak mempunyai halangan sekiranya Huang kembali memegang jawatan berkenaan, sambil menyifatkan kontroversi itu sebagai pengajaran besar buat tokoh teknologi terbabit.
“Saya tidak akan membantah perkara itu. Saya fikir beliau sudah mendapat pengajaran besar,” katanya kepada pemberita ketika memulakan lawatan ke China.
Trump turut merujuk kepada kempen yang menggesa Huang dikembalikan ke jawatannya, dengan lebih 158,000 individu menandatangani surat terbuka menyokong usaha berkenaan, termasuk tokoh teknologi Elon Musk dan pengasas bersama Uber.
“Ramai yang meminta Jensen kembali. Mereka berpendapat beliau sepatutnya kembali menerajui syarikat itu. Saya fikir cadangan itu bukan sesuatu yang buruk” katanya.
Dalam perkembangan sama, Trump turut mempersoalkan dakwaan bahawa Alice Huang, wanita yang dikaitkan dengan hubungan sulit bersama Huang, merupakan ejen pengintip China.
Menurut Trump, beliau tidak mempunyai maklumat yang mengesahkan dakwaan berkenaan dan mempersoalkan kecenderungan mengaitkan wanita warga China yang memasuki AS dengan kegiatan pengintipan.
Trump turut menolak laporan bahawa Setiausaha Negara AS, Marco Rubio pernah memaklumkan kepadanya mengenai maklumat risikan yang mengaitkan Alice Huang dengan kegiatan pengintipan.
“Saya tidak pernah mendengar perkara itu,” katanya.
Alice Huang sebelum ini merupakan bekas eksekutif di Megaspeed, sebuah syarikat pusat data berpangkalan di Singapura yang disyaki penyiasat AS menyalurkan teknologi Nvidia ke China secara haram.
Kontroversi Nvidia turut mencetuskan ketegangan dalam pentadbiran White House berhubung penjualan cip AI canggih buatan AS ke China.
Jabatan Perdagangan AS yang diketuai Howard Lutnick berdepan kritikan, khususnya daripada Setiausaha Perbendaharaan, Scott Bessent, berhubung dakwaan kegagalan menguatkuasakan kawalan eksport terhadap cip berteknologi tinggi.
Pada Isnin, Jabatan Perdagangan AS menutup satu kelompangan peraturan yang membolehkan syarikat China mengakses cip AI canggih buatan AS melalui pusat data di negara lain.
Peraturan baharu itu bertujuan menghalang syarikat China daripada menggunakan cip berkenaan yang ditempatkan di pusat data di luar negara.
Mengulas perbezaan pandangan antara Lutnick dan Bessent, Trump berkata kedua-duanya mempunyai pendekatan berbeza dalam menguruskan hubungan perdagangan dengan China.
Menurutnya, satu pihak berpandangan AS perlu mengelakkan tindakan yang boleh menyinggung Beijing memandangkan hubungan kedua-dua negara berada pada tahap baik, manakala satu lagi mahu pendekatan lebih tegas dilaksanakan.
Trump berkata, kedua-dua pendekatan itu mempunyai pertimbangan tersendiri dan keputusan akan dinilai kemudian.
Dalam pada itu, Trump sekali lagi mempertahankan Huang berhubung isu penjualan cip Nvidia ke China.
Beliau berkata Huang berdepan cabaran peribadi melibatkan keluarganya, selain berusaha meneruskan perniagaan penjualan cip.
Trump turut menjelaskan bahawa AS sebelum ini melarang penjualan cip paling canggih Nvidia ke China, namun berpandangan penjualan cip model lain masih boleh memberi manfaat.
“Kita melarang beliau menjual cip yang penting dan paling moden. Namun, secara jujurnya, penjualan cip yang lain merupakan sesuatu yang baik, bukannya buruk,” katanya.- AFP