Macron tiba di Malaysia, perkukuh hubungan strategik dua hala

Foto RTM

SEPANG, 16 November – Presiden Perancis, Emmanuel Macron selamat tiba di Malaysia hari ini bagi memulakan lawatan rasmi dua hari atas jemputan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lawatan dijangka memperkukuh hubungan dua hala ke tahap Perkongsian Strategik antara Malaysia dan Perancis.
  • Perbincangan akan tumpu kepada MoU pertahanan, pendidikan tinggi, mineral kritikal dan peralihan tenaga.
  • Perancis mahu memperluas kerjasama unsur nadir bumi bagi mempelbagaikan bekalan, mengurangkan kebergantungan dan memastikan kelangsungan industri pembuatan.

Lawatan rasmi pertama beliau ke negara ini sejak memegang jawatan Presiden Perancis pada Mei 2017 dijangka membuka ruang meningkatkan hubungan dua hala Malaysia-Perancis ke tahap Perkongsian Strategik.

Pesawat membawa Macron bersama isteri, Brigitte Macron serta delegasi mendarat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 11.10 malam.

Ketibaan beliau disambut Menteri Digital, Gobind Singh Deo bersama isteri, Sangeeta Kaur Sidhu.

Macron kemudian memeriksa Kawalan Kehormatan Setempat terdiri daripada 28 pegawai dan anggota Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja, sebelum diraikan dengan persembahan kebudayaan yang mengetengahkan kepelbagaian warisan masyarakat Malaysia.

Esok, beliau dijadual menerima istiadat sambutan rasmi di Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur, sebelum mengadakan mesyuarat dua hala bersama Datuk Seri Anwar.

Pertemuan kedua-dua pemimpin dijangka memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kerjasama strategik, disusuli pertukaran beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang pertahanan, pendidikan tinggi, mineral kritikal dan peralihan tenaga.

Antara tumpuan Perancis ialah memperluas kerjasama dengan Malaysia dalam sektor unsur nadir bumi bagi mempelbagaikan sumber bekalan dan mengurangkan kebergantungan kepada pembekal tertentu.

Macron sebelum ini menjelaskan, kepelbagaian bekalan mineral berkenaan penting bagi memastikan kelangsungan industri pembuatan Perancis, khususnya pengeluaran magnet untuk motor elektrik dan peranti elektronik.

Menurutnya menerusi hantaran di platform X pada 15 November, langkah itu juga dapat mengurangkan risiko gangguan rantaian bekalan serta meningkatkan keyakinan terhadap pelaburan dan pengeluaran jangka panjang di negaranya.

Dalam perkembangan berkaitan, jumlah perdagangan Malaysia-Perancis mencecah RM17.78 bilion pada 2025, dengan Perancis muncul rakan dagang ke-21 terbesar Malaysia di peringkat global dan keempat terbesar dalam kalangan negara Eropah.

Agenda lawatan turut merangkumi sidang media bersama dan majlis makan tengah hari yang dihoskan Datuk Seri Anwar bagi meraikan Presiden Perancis itu.

Kunjungan Macron merupakan kesinambungan lawatan rasmi Datuk Seri Anwar ke Perancis pada Julai tahun lalu dalam usaha mempererat hubungan diplomatik, perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.