
SERDANG, 16 November – Kecemerlangan saintis muda dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) menjadi pemacu penghasilan inovasi berimpak tinggi serta memperkukuh kemajuan sains, teknologi dan inovasi (STI) negara.
- MOSTI menyediakan ekosistem penyelidikan kondusif melalui pembiayaan berfokus, akses data selamat dan kolaborasi strategik termasuk antarabangsa.
- Saintis muda diberi peluang dan sokongan untuk menjadi pencipta teknologi serta peneraju inovasi yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
- ASMN 2026 mengiktiraf penyelidik bawah 40 tahun daripada pelbagai disiplin, menggalakkan terjemahan penyelidikan ke inovasi berimpak termasuk AI dan teknologi bersih.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang berkata, Malaysia perlu beralih daripada pengguna teknologi kepada pencipta dan pembangun teknologi bagi memastikan negara mampu bersaing dalam bidang berkenaan.
“Dengan perkembangan pesat teknologi masa kini, khususnya kecerdasan buatan (AI), kita menyaksikan bagaimana teknologi ini bukan sekadar memudahkan automasi, malah berpotensi mempercepat penemuan saintifik.
“Sehubungan dengan itu, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) komited menyediakan ekosistem penyelidikan yang kondusif melalui pembiayaan berfokus, akses kepada data yang selamat.
“Selain itu peluang kolaborasi strategik termasuk di peringkat antarabangsa agar penyelidik tempatan mampu meneroka bidang ilmu dan teknologi baharu,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Saintis Muda Negara (ASMN) 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini.
Dalam pada itu, beliau berpandangan saintis muda perlu diberi peluang dan sokongan untuk menjadi pencipta teknologi serta peneraju inovasi yang mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
“Kejayaan penyelidikan bukan sahaja diukur melalui pengiktirafan antarabangsa, tetapi juga melalui impaknya kepada ekonomi, penyelesaian cabaran negara, kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam.
“Kita memerlukan saintis yang mampu menterjemahkan penemuan penyelidikan kepada inovasi dan penyelesaian yang memberi manfaat kepada masyarakat dan memangkinkan ekonomi berlandaskan inovasi,” jelasnya.
ASMN 2026 mengiktiraf lima saintis muda dalam kategori Biologi, Fizik, Kimia, Kejuruteraan dan Industri berdasarkan kecemerlangan penyelidikan serta sumbangan dalam menghasilkan inovasi baharu.
Penerima kategori Biologi, Profesor Madya Dr. Nadiah Abu dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), diiktiraf menerusi penyelidikan berkaitan vesikel molekul ekstrasel dalam kanser kolorektal.
Beliau turut menubuhkan Malaysian Society for Extracellular Vesicles (MySEV) dan pernah menerima Anugerah L’Oréal-UNESCO For Women in Science 2022.
Kategori Fizik dimenangi Ts. Dr. Chen Ruey Shan dari UKM menerusi penyelidikan yang menghasilkan bahan komposit bernilai tambah daripada sisa pertanian dan polimer kitar semula.
Beliau turut mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila terpilih menyertai Talented Young Scientist Program (TYSP) anjuran Kementerian Sains dan Teknologi China.
Bagi kategori Kimia, anugerah diberikan kepada Profesor Madya ChM Dr. Noorfatimah Yahaya dari Universiti Sains Malaysia (USM) atas sumbangannya dalam teknologi membran termaju.
Antara inovasi beliau ialah pembangunan teknologi Membrasense™ bagi pemantauan dos antibiotik klinikal, selain pernah menerima Anugerah L’Oréal-UNESCO For Women in Science 2025.
Sementara itu, kategori Kejuruteraan dimenangi Profesor Madya Ir. Ts. Dr. Serene Lock Sow Mun dari Universiti Teknologi Petronas (UTP) menerusi penyelidikan kejuruteraan pengkomputeran untuk tenaga bersih, termasuk penyahkarbonan dan teknologi hidrogen.
Kategori Industri pula diberikan kepada Profesor Madya Dr. Muhammad Firdaus Akbar Jalaludin Khan dari Visionlytics Sdn. Bhd. atas pembangunan sistem pengurusan pengeluaran digital berasaskan AI yang telah digunakan lebih 20 syarikat korporat.
ASMN merupakan pengiktirafan kepada saintis muda negara berumur bawah 40 tahun atas kecemerlangan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta sumbangan mereka terhadap kemajuan sains, teknologi dan inovasi (STI).
Penganjuran anugerah itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan MOSTI memperkasa bakat STEM dan membudayakan STI bagi melahirkan lebih ramai pencipta teknologi serta peneraju inovasi negara.