Kepala air di Sungai Luit: SAR diteruskan di kawasan ‘Hot Spot’

Foto JBPM

HULU SELANGOR, 13 November –Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) insiden kepala air di Sungai Luit, berhampiran Tapak Perkelahan Sungai Pertak, memasuki fasa lebih terperinci hari ini dengan tumpuan pencarian difokuskan di Sektor B dan Sektor C.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pasukan STORM, APM dan Malim Gunung digerakkan; pasukan menjalankan pencarian 'swap and sniff' untuk mengesan petunjuk baharu.
  • Pencarian tertumpu di kawasan last rapid dan himpunan kayu; PPDA ditambah untuk 'sniff and dive' dengan dua anjing pengesan K9.
  • Dua dron PGU digerakkan untuk pemantauan udara liputan permukaan; mayat mangsa keenam ditemui berhampiran Empangan Sungai Selangor.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor memaklumkan operasi setakat pukul 8:30 pagi, pasukan SAR yang terdiri daripada Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) JBPM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Malim Gunung Perhutanan telah digerakkan ke lokasi pencarian ‘hot spot’ di Sektor B.

Pasukan berkenaan menjalankan pencarian menggunakan kaedah ‘swap and sniff’ bagi mengesan sebarang petunjuk baharu.

“Di Sektor C, kawasan pencarian tertumpu di persekitaran ‘last rapid’ serta himpunan rumpun sampah dan kayu-kayuan.

“Bagi memantapkan operasi di kawasan tersebut, anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) JBPM Negeri Selangor telah ditambah bagi menjalankan selaman lebih terperinci menerusi teknik ‘sniff and dive’ dengan bantuan dua ekor anjing pengesan dari Unit K9 JBPM.

“Bagi liputan pencarian permukaan air, sebanyak dua buah unit dron milik Pasukan Gerakan Udara (PGU) turut digerakkan untuk membuat pemantauan dari udara menerusi Sektor D,”menurut kenyataan itu.

Semalam, mayat mangsa keenam daripada lapan tragedi kepala air di Sungai Luit, berhampiran Tapak Perkelahan Sungai Pertak, ditemukan di sekitar kawasan Empangan Sungai Selangor pada pukul 10.20 pagi.

Isnin lepas, lapan lelaki dihanyutkan arus dengan seorang mangsa warga tempatan ditemukan pada 1.30 pagi Selasa di kawasan Jambatan Pertak, kira-kira 2.7 kilometer dari lokasi kejadian di Lata Jebus.

Empat lagi mangsa warga asing ditemukan pada pagi hari sama di kawasan Jambatan Senget dan Jambatan Gantung, kira-kira 950 meter hingga satu kilometer dari Lata Jebus.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.