
SIMPANG EMPAT, 10 November – Program Jualan Agro MADANI berjaya menjana nilai jualan keseluruhan RM63.30 juta hasil penganjuran 4,231 siri program di seluruh negara.
- Negeri Perlis merekodkan jualan RM1.9 juta melalui 142 siri jualan melibatkan 581 orang usahawan.
- Nilai penjimatan sepanjang 2026 ialah RM570,000 dengan manfaat kepada 565,000 isi rumah.
- FAMA tawar pelbagai produk agromakanan dengan penjimatan 10 hingga 30 peratus berbanding harga pasaran.
- Ditawarkan 150 unit Kombo MADANI pada harga RM17 berbanding harga asal RM24 bagi barangan keperluan harian.
Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus berkata, pencapaian itu merupakan hasil komitmen daripada 39,841 orang usahawan yang memberi manfaat kepada 8.20 juta orang isi rumah dengan nilai penjimatan RM18 juta.
“Bagi Negeri Perlis sahaja, program ini telah merekodkan nilai jualan sebanyak RM 1.9 juta menerusi pelaksanaan sebanyak 142 kali siri jualan melibatkan 581 orang usahawan.
“Nilai penjimatan yang direkodkan sepaanjang 2026 adalah RM570,000 dengan manfaat kepada 565,000 orang isi rumah,” katanya.
Beliau memaklumkan ketika meninjau pelaksanaan Jualan Agro MADANI @ Pasar Tani Kekal Simpang Empat di sini sempena lawatan kerja beliau ke Negeri Perlis.
FAMA turut menawarkan pelbagai produk agromakanan dengan kadar penjimatan antara 10 hingga 30 peratus berbanding harga pasaran, merangkumi daging tempatan, ayam segar, buah-buahan, sayur-sayuran serta pelbagai produk runcit lain.
Selain itu turut ditawarkan 150 unit Kombo MADANI mengandungi barangan keperluan harian seperti telur, bawang dan minyak masak pada harga RM17.00 berbanding harga asal RM24.00.
Program Jualan Agro MADANI terus memperlihatkan pencapaian positif di seluruh negara menerusi pelaksanaan pelbagai siri jualan yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat, khususnya dalam meringankan perbelanjaan kos sara hidup serta menyediakan akses kepada bekalan makanan pada harga yang berpatutan dan lebih rendah dari harga pasaran.
Pencapaian tersebut mencerminkan sambutan positif masyarakat terhadap inisiatif yang dilaksanakan FAMA dalam memastikan bekalan produk agromakanan dapat diperoleh pada harga lebih berpatutan di samping membantu meningkatkan pendapatan usahawan tani dan memperluas peluang pemasaran produk tempatan.