
IPOH, 9 November – Sebuah rumah flat di tingkat empat yang tidak berpenghuni musnah kira-kira 80 peratus dalam satu kejadian kebakaran di Bercham di sini, petang tadi.
- JBPM Negeri Perak menerima panggilan kecemasan pada 4.54 petang dan menggerakkan jentera pertama ke lokasi.
- 21 anggota dari BBP Tambun, BBP Ipoh, BBP Meru Raya dan PBS Menglembu tiba kira-kira lima minit kemudian.
- Bomba kawal api pada 5.05 petang; operasi tamat 6.26 petang. Tiada kecederaan dilaporkan; punca dan kerugian disiasat.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Perak menerima panggilan kecemasan berhubung insiden di Blok D rumah flat berkenaan pada pukul 4.54 petang sebelum menggerakkan jentera pertama ke lokasi kejadian.
Komander Operasi Masjuliana Mohamad Zainudin berkata seramai 21 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambun, BBP Ipoh dan BBP Meru Raya dengan bantuan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Menglembu tiba di lokasi lima minit kemudian.
“Kebakaran melibatkan sebuah rumah kosong berkeluasan 30 x 15 kaki di tingkat paling atas. Anggota bertindak mengawal kebakaran menggunakan satu aliran, dua pancutan air daripada tangki jentera serta pili bomba berhampiran,” katanya.
Beliau menambah, pihak bomba berjaya mengawal api pada pukul 5.05 petang sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada 6.26 petang.
“Tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden berkenaan, manakala punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan.