
KUALA LUMPUR, 9 November- Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat (SekPur) membuat laporan polis berhubung penyebaran imej dokumen yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di media sosial.
- Setiausaha Agung SekPur meminta pengesahan sama ada perintah merujuk kepada pelepasan atau tahanan rumah.
- Kekeliruan mengenai tafsiran perintah perlu diperjelaskan oleh pihak berkuasa berkaitan.
- Razali menegaskan tindakan itu untuk memperjelas berdasarkan bukti dan undang undang, bukan menuduh sesiapa.
- Yang di-Pertuan Agong titah cabaran terhadap Perintah Pengampunan Bersyarat mengingkari perintah; AGC menafikan mempertikai atau menggantungnya.
Setiausaha Agung SekPur, Mejar (B) Razali Zakaria berkata laporan itu dibuat susulan beberapa perkara pada dokumen berkenaan yang menimbulkan persoalan.
“Kami hanya mahu mendapatkan pengesahan sama ada perintah itu merujuk kepada pelepasan (discharge) atau tahanan di rumah.
“Kekeliruan ini perlu diperjelaskan oleh pihak berkuasa berkaitan,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi di sini hari ini.
Razali turut menegaskan laporan polis itu bukan bertujuan menuduh mana-mana individu atau pihak, sebaliknya bagi memastikan perkara berkenaan diperjelaskan berdasarkan bukti dan undang-undang.
Terdahulu media melaporkan, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menitahkan bahawa sebarang hujah yang mempertikaikan Perintah Pengampunan Bersyarat bagi membolehkan Datuk Seri Najib menjalani baki hukuman pemenjaraan secara tahanan di rumah menjurus ke arah mengingkari perintahnya.
Seri Paduka Baginda bertitah, tidak sepatutnya timbul kekeliruan dalam mentafsir perintah berkenaan kerana keputusan yang diperkenankan itu jelas, nyata dan tanpa sebarang ambiguiti.
Susulan itu, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengeluarkan kenyataan sambil menegaskan tidak pernah mempertikai, mengetepikan atau berhasrat menggantung Perintah Pengampunan Bersyarat diperkenan Yang di-Pertuan Agong kepada bekas ahli Parlimen Pekan terbabit.