AARM 2026 perkukuh diplomasi pertahanan negara ASEAN

Panglima Divisyen Ketiga Infantri Malaysia, Mejar Jeneral Datuk Sani S. Omar / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 9 November – Kejohanan Menembak Tentera Darat ASEAN Ke-34 (AARM 2026) menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan ketenteraan dan diplomasi pertahanan antara negara anggota ASEAN.

RINGKASAN BERITA AI
  • Diplomasi pertahanan dilaksanakan melalui tiga peringkat: operasi pertandingan, mesyuarat teknikal komuniti, dan pertemuan kepimpinan tentera darat anggota.
  • Malaysia dipilih tuan rumah keenam, mempamerkan sokongan kepada konsep ASEAN Way berteraskan saling menghormati dan diplomasi ketenteraan.
  • Kehadiran kepimpinan tertinggi tentera darat pada majlis penutup mencerminkan komitmen memperkukuh hubungan pertahanan serantau.
  • Kejohanan membabitkan 601 anggota dari 10 negara ASEAN, bertanding lima kategori utama termasuk raifal, karbin, pistol lelaki dan wanita.

Panglima Divisyen Ketiga Infantri Malaysia, Mejar Jeneral Datuk Sani S. Omar berkata, usaha itu dilaksanakan menerusi tiga peringkat, iaitu operasi melalui pertandingan, teknikal menerusi mesyuarat komuniti teknikal serta peringkat tertinggi melalui pertemuan kepimpinan tentera darat negara anggota ASEAN.

“Ini adalah salah satu instrumen atau wadah dalam diplomasi pertahanan dalam kalangan negara ASEAN.

“Saya juga melihat pemilihan Malaysia sebagai tuan rumah buat kali keenam merupakan platform terbaik untuk mempamerkan imej negara dalam menyokong konsep ASEAN Way atau cara ASEAN yang berteraskan sikap saling menghormati dan diplomasi ketenteraan,” katanya ketika ditemui pemberita di Wisma Berita RTM, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kehadiran kepimpinan tertinggi tentera darat negara anggota ASEAN pada majlis penutup yang dijadualkan berlangsung pada 18 November ini turut mencerminkan komitmen bersama untuk memperkukuh hubungan pertahanan serantau.

AARM 2026 berlangsung di Lapang Sasar Terendak, Melaka sejak 30 Oktober lalu, membabitkan 601 anggota kontinjen terdiri daripada penembak elit dan pegawai sokongan dari 10 negara ASEAN.

Kejohanan itu mempertandingkan lima kategori utama, iaitu raifal, karbin, pistol lelaki, pistol wanita dan senjata bantuan mesingan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.