Lima warga Gaza cedera dalam serangan berterusan Israel

Foto AFP

BANDAR RAYA GAZA, 8 November – Lima rakyat Palestin, termasuk seorang wanita, cedera dalam siri serangan berterusan Israel di seluruh Semenanjung Gaza pada Ahad, di tengah-tengah serangan harian Tel Aviv terhadap gencatan senjata tahun lepas, lapor Anadolu Ajansi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Empat penduduk Palestin cedera, termasuk seorang parah, selepas serangan yang menyasarkan sekumpulan orang awam di utara Gaza.
  • Di selatan, seorang wanita ditembak di Kem Qatar; kenderaan tentera melepaskan tembakan ke Khan Younis dan kawasan al-Shakoush.
  • Sejak gencatan senjata 10 Okt 2025, Kementerian Kesihatan Gaza lapor 1,610 terbunuh, 5,819 cedera; perang sebelumnya mengorbankan lebih 74,000.

Sumber memberitahu Anadolu bahawa empat rakyat Palestin cedera, termasuk seorang parah, dalam serangan Israel yang menyasarkan sekumpulan orang awam di utara Gaza.

Saksi berkata sebuah dron melepaskan peluru berpandu ke arah perhimpunan orang ramai di kawasan Bir al-Naaja, barat Jabalia di utara Gaza.

Di bahagian selatan pula, seorang wanita ditembak di belakang oleh tentera Israel ketika berada di Kem Qatar, timur Kompleks Kediaman Hamad di Khan Younis, kata sumber itu.

Menurut saksi, kenderaan tentera Israel melepaskan tembakan bertubi-tubi ke arah selatan Khan Younis dan kawasan al-Shakoush, barat Rafah di selatan Gaza.

Sumber tempatan memberitahu Anadolu bahawa artileri Israel turut membedil kawasan di timur Bandar Raya Gaza, namun tiada kecederaan dilaporkan.

Sekurang-kurangnya 1,610 rakyat Palestin terbunuh manakala 5,819 lagi cedera akibat tembakan tentera Israel sejak perjanjian gencatan senjata berkuat kuasa pada 10 Okt 2025, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.

Perjanjian itu dicapai selepas dua tahun perang genosid oleh Israel yang bermula pada Oktober 2023, mengorbankan lebih 74,000 rakyat Palestin, mencederakan lebih 175,000 orang serta memusnahkan 90 peratus infrastruktur awam. -BERNAMA-ANADOLU

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.