
JAKARTA, 8 November – Tiga kru sebuah helikopter yang menjalankan operasi pemadaman kebakaran hutan dan tanah menerusi pengeboman air terselamat selepas pesawat itu terhempas ke Sungai Barito, Kalimantan Selatan, Indonesia, hari ini.
- Helikopter Eurocopter EC225LP Super Puma terhempas semasa operasi mengambil air menggunakan peralatan Bambi Bucket.
- Rakaman orang awam menunjukkan helikopter dipercayai hilang kawalan ketika melakukan manuver selepas mengambil air.
- Ketiga-tiga kru berjaya dipindahkan keluar dan helikopter dibawa ke tebing sungai.
- Laporan terperinci mengenai keadaan yang membawa kepada nahas dan punca sebenar sedang disediakan untuk pihak berkuasa.
Helikopter jenis Eurocopter EC225LP Super Puma itu terhempas ketika menjalankan operasi mengambil air dari sungai menggunakan peralatan khas dikenali sebagai Bambi Bucket.
Pemangku Ketua Pusat Data, Informasi dan Komunikasi Kebencanaan Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB), Berton Panjaitan berkata, rakaman video orang awam menunjukkan helikopter berkenaan dipercayai hilang kawalan ketika melakukan manuver selepas mengambil air dari sungai.
“Ketiga-tiga kru berjaya dipindahkan keluar, manakala helikopter itu telah dibawa ke tebing sungai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mengenal pasti kru terbabit sebagai Michael John Betteridge, warga Australia; Hugh Andrew John Page, warga New Zealand; dan Yayan, warga Indonesia.
Helikopter bernombor pendaftaran VH-HGM dengan nombor siri 2878 itu merupakan milik persendirian yang dikontrak BNPB bagi menyokong operasi pemadaman kebakaran dari udara.
Berton berkata, laporan terperinci berhubung keadaan yang membawa kepada nahas serta punca sebenar kejadian sedang disediakan untuk dikemukakan kepada orang awam dan pihak berkuasa berkaitan.
Insiden itu berlaku hanya empat hari selepas sebuah helikopter Mi-17V5 milik Tentera Darat Indonesia terhempas ketika menjalankan operasi pengeboman air di Kabupaten Seruyan, Kalimantan Tengah, pada 4 November lalu.
Nahas berkenaan mengorbankan tiga kru manakala lima lagi cedera. – BERNAMA