
TOKYO, 5 November – Presiden Kehormat Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA) Kozo Tashima mengumumkan akan bertanding menentang Gianni Infantino bagi jawatan Presiden FIFA dalam pemilihan yang dijadualkan berlangsung Mac depan.
- Persatuan Bola Sepak Jepun memberi sokongan penuh kepada Kozo Tashima.
- Tashima tekankan keikhlasan, integriti dan etika tinggi untuk dikongsi dengan komuniti bola sepak dunia.
- Tarikh tutup pencalonan 18 November; Infantino berdepan kritikan tetapi mendapat sokongan rasmi AFC.
Tashima menjadi individu kedua menyatakan hasrat mencabar Infantino selepas bekas pertahanan Tottenham Ramon Vega.
Tashima, 68, yang pernah menganggotai Majlis FIFA dalam satu kenyataan berkata beliau mendapat sokongan penuh daripada JFA.
“Saya percaya adalah penting agar keikhlasan, integriti dan standard etika tinggi yang lama dipegang serta dibina oleh bola sepak Jepun disampaikan dengan jelas kepada komuniti bola sepak global.
“Bagi berkongsi prinsip ini dengan dunia, seterusnya menyumbang kepada masa depan bola sepak yang lebih baik, saya memutuskan untuk bertanding,” tegasnya.
Tashima, yang memegang jawatan Presiden JFA dari 2016 hingga 2024 menambah berbekalkan pengalaman, beliau bersedia menggalas cabaran ini dengan tekad yang kukuh demi pembangunan bola sepak dunia.
Tarikh tutup bagi pencalonan jawatan berkenaan ditetapkan pada 18 November ini.
Penyandang jawatan, Infantino, yang berhasrat mempertahankan kerusi itu bagi penggal keempat dan terakhir, sebelum ini berdepan kritikan pedas serta gesaan meletak jawatan susulan kegagalan pelan penjualan hak Piala Dunia yang dibatalkan.
Namun begitu, Infantino kini berada di posisi kukuh untuk mempertahankan jawatannya selepas Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menyatakan sokongan rasmi kepada pemimpin berusia 56 tahun itu, bulan lalu.
Infantino sebelum ini mendakwa beliau mendapat sokongan padu daripada majoriti besar persatuan ahli serta menolak gesaan untuk berundur.- AFP