
PUTRAJAYA, 5 November- Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil langkah mengenal pasti kawasan berisiko dilanda banjir luar jangka bagi memastikan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dapat menduduki peperiksaan tanpa gangguan sepanjang Monsun Timur Laut (MTL).
- Kerjasama erat KPM dengan APM, PDRM dan ATM untuk memastikan keselamatan dan kebajikan calon peperiksaan.
- Menempatkan calon SPM yang berisiko di asrama bagi mengelakkan gangguan kehadiran jika berlaku banjir.
- Pembukaan bilik gerakan banjir dan pemantauan trend bagi mengumpul maklumat serta mengurus kecemasan secara berterusan.
Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr. Mohd Azam Ahmad berkata meskipun kawasan yang lazimnya dilanda banjir setiap tahun telah dikenal pasti, KPM turut memberi perhatian kepada lokasi yang sebelum ini tidak pernah terjejas.
Beliau berkata persediaan awal dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi memastikan keselamatan serta kebajikan calon peperiksaan terpelihara.
“Di peringkat KPM, kita sudah menggerakkan pasukan termasuk penyelia kawasan untuk memantau perkembangan situasi banjir. Saya juga telah mengarahkan supaya bilik gerakan banjir dibuka bagi membolehkan kita mengumpul maklumat dan memantau trend kejadian banjir dari semasa ke semasa,” katanya.
Menurut Datuk Dr. Mohd Azam, KPM turut mengambil langkah menempatkan calon SPM yang dikenal pasti tinggal di kawasan berisiko banjir di asrama bagi mengelakkan kehadiran mereka ke pusat peperiksaan terganggu sekiranya berlaku banjir atau laluan terputus.
Beliau berkata pendekatan itu mula dilaksanakan tahun lalu selepas KPM mengenal pasti lokasi kediaman calon serta laluan yang berpotensi dinaiki air.
Persediaan menghadapi peperiksaan SPM tahun ini turut diselaraskan di semua peringkat menerusi Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan pihak sekolah.
“Peringatan serta penyelarasan turut dibuat secara berterusan di semua peringkat, bermula daripada negeri, daerah hingga ke sekolah bagi memastikan sebarang kemungkinan dapat ditangani dengan segera,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan kerjasama semua pihak bagi memastikan peperiksaan berjalan lancar serta calon dapat mendudukinya dalam keadaan selamat dan teratur.