
BUKIT RAMBAI, 5 November – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta rakyat memberi peluang kepada Kerajaan MADANI untuk terus mentadbir negara bagi memastikan dasar dan agenda pembangunan yang telah dimulakan dapat diteruskan.
- Berikan peluang Kerajaan MADANI meneruskan dasar dan agenda pembangunan yang telah dimulakan.
- Kerajaan komited bekerjasama dengan kerajaan negeri supaya pembangunan dan manfaat ekonomi dinikmati rakyat.
- Rakyat perlu menilai calon berdasarkan keupayaan dan hasil kerja, bukan budaya mencaci atau perpecahan.
Beliau berkata, kerajaan persekutuan juga komited untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam memastikan pembangunan serta manfaat ekonomi dapat dinikmati rakyat.
“Yang ini penting bagi saya. Apa yang kita sudah mulakan, berilah peluang untuk saya teruskan. Itu sahaja.
“Jadi di Klebang ini dan seluruh Melaka, kita minta mandat untuk melakukan sesuatu. Itu sahaja yang saya ingin sampaikan. Yang lain, kita dengarlah pandangan rakan-rakan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Jelajah Aspirasi MADANI Negeri Melaka di Taman Bukit Rambai, di sini.
Menurutnya, kerajaan perlu diberikan ruang untuk membuktikan keupayaan melaksanakan dasar yang telah dirancang, manakala rakyat berhak menilai prestasi berdasarkan hasil yang dicapai.
Datuk Seri Anwar turut menyeru rakyat supaya menilai pilihan politik berdasarkan keupayaan calon dan kerajaan dalam membawa harapan serta memenuhi aspirasi rakyat berbanding yang menjurus kepada budaya mencaci dan mencetuskan perpecahan.