CSA: Kerajaan sedia dedah kandungan perjanjian

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra bersama orang ramai selepas menghadiri Majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri 2026 di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) hari ini./ BERNAMA

ALOR GAJAH, 5 November – Kerajaan tidak mempunyai sebarang halangan untuk mendedahkan kandungan Perjanjian Kepercayaan dan Perbekalan (CSA) yang dimeterai bersama beberapa Ahli Parlimen Bersatu dan Bebas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perdana Menteri berkata draf dan prinsip CSA sama seperti perjanjian sebelum ini, tiada keperluan dirahsiakan.
  • Anwar akan maklumkan kepada Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof untuk tindakan lanjut dalam mesyuarat Jemaah Menteri.
  • Anwar menempelak kenyataan Presiden PAS menyifatkan CSA sebagai pendekatan dajal, mengatakan ia tidak wajar dan agama tidak boleh dipermainkan.
  • CSA dimeterai 29 Oktober lalu bersama enam Ahli Parlimen Bersatu dipimpin Muhyiddin serta tujuh Ahli Parlimen lain termasuk Syed Saddiq.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tiada keperluan untuk kerajaan merahsiakan perjanjian berkenaan memandangkan prinsip dan draf kandungannya adalah sama seperti perjanjian yang dimeterai sebelum ini.

Beliau berkata, perkara itu akan dimaklumkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, yang bertanggungjawab menguruskan perjanjian berkenaan, dalam mesyuarat Jemaah Menteri esok bagi tindakan lanjut.

“Saya tiada keberatan mendedahkannya, malah draf dan prinsip perjanjian itu pun sama sahaja seperti perjanjian antara Pakatan Harapan dengan kerajaan ketika itu yang dianggotai PAS, Bersatu dan UMNO.

“Malah, yang mengemukakan cadangan perjanjian itu dahulu pun parti dia (PAS),” katanya ketika ketika diminta mengulas gesaan Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) merangkap Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, supaya kerajaan mendedahkan kandungan CSA, termasuk perincian jumlah dan kaedah pemberian peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.

Mengulas kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menyifatkan perjanjian CSA sebagai “pendekatan dajal”, Datuk Seri Anwar menyifatkan kenyataan sedemikian sebagai tidak wajar.

Beliau berkata, pemimpin PAS yang disifatkannya sebagai seorang alim itu, sepatutnya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan, khususnya apabila melibatkan penilaian terhadap pihak lain.

“Untuk menghukum orang atau kumpulan atau pendirian sebagai dajal, itu tidak kena. Jadi, macam mana sekarang ini, bila dia buat, tidak dajal, bila orang buat, jadi dajal.

“Saya tidak fikir agama boleh dipermainkan seperti itu,” katanya ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri 2026 di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), di sini, hari ini.

Pada 29 Oktober lalu, Kerajaan MADANI memeterai CSA dengan enam Ahli Parlimen Bersatu yang diketuai Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, serta tujuh Ahli Parlimen lain, antaranya Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.