
KUALA LUMPUR, 5 November – Ketidakpadanan antara penawaran rumah dengan permintaan pasaran, dikenal pasti antara punca utama lambakan kediaman siap dibina yang tidak terjual, di negara ini.
- KPKT tekankan perancangan perumahan bersasar dan berpandukan data melalui Dasar Perumahan Negara 2026-2035.
- Pendekatan mengambil kira kemampuan pendapatan, keperluan perumahan serta permintaan sebenar mengikut lokaliti.
- Laporan NAPIC: 33,094 unit rumah siap tidak terjual bernilai RM17.8 bilion pada suku kedua 2026.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memaklumkan situasi itu berlaku, apabila pembangunan perumahan tidak memenuhi keperluan penduduk setempat mencakupi aspek kuantiti, kualiti dan harga berbanding pendapatan.
“Sehubungan dengan itu, melalui Dasar Perumahan Negara (DRN) 2026-2035, KPKT memberikan penekanan kepada pendekatan perancangan pembangunan perumahan yang lebih bersasar dan berpandukan data.
”Pendekatan itu mengambil kira kemampuan pendapatan, keperluan perumahan serta permintaan sebenar mengikut lokaliti,”katanya menerusi jawapan bertulis yang disiarkan dalam laman sesawang Parlimen.
Berdasarkan laporan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), sebanyak 33,094 unit rumah siap dibina tetapi belum terjual bernilai RM17.8 bilion direkodkan pada suku kedua 2026.
Angka berkenan mencatatkan peningkatan 293 unit atau 0.9 peratus berbanding suku pertama tahun ini.