
KUDAT, 4 November – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Kudat menahan sebuah bot kargo yang membawa petrol, barangan kawalan berjadual serta baja amonium nitrat tanpa kebenaran di perairan Dogoton, Pulau Banggi, di sini.
- Penahanan hasil maklumat risikan di perairan Dogoton, kira-kira 0.4 batu nautika tenggara kawasan berkenaan.
- Empat individu ditahan: seorang warga tempatan dan tiga warga Filipina berumur 20 hingga 30 tahun.
- Bot, muatan dan suspek bernilai anggaran RM150,000 diiring ke Jeti Pelabuhan Kudat untuk siasatan lanjut.
- Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Imigresen 1959/63, dan Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
Penahanan berhampiran kedudukan 0.4 batu nautika tenggara Dogoton itu dilakukan hasil maklumat risikan berhubung aktiviti mencurigakan di kawasan perairan berkenaan.
Pemeriksaan lanjut mendapati bot kargo tersebut dikendalikan oleh empat lelaki iaitu seorang warga tempatan dan tiga warga Filipina berumur antara 20 hingga 30 tahun.
Pengarah Maritim Zon Kudat Hasbullah Omar berkata, kesemua suspek bersama bot kargo dan muatan berharga RM150,000 itu ditahan sebelum diiring ke Jeti Pelabuhan Kudat untuk siasatan lanjut.
“Penahanan ini adalah hasil risikan mantap serta kecekapan anggota operasi dalam mengekang aktiviti haram di kawasan perairan Pulau Banggi.
“Maritim Malaysia akan terus mempergiat pemantauan dan penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti penyeludupan serta memelihara kedaulatan perairan negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah, kes berkenaan disiasat di bawah tiga peruntukan undang-undang iaitu Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Imigresen 1959/63, dan Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
Sehubungan itu, pihak Maritim Malaysia menggesa orang awam yang mempunyai maklumat berhubung sebarang aktiviti mencurigakan di laut supaya menyalurkannya ke Pusat Operasi Zon Maritim Kudat di talian 088-611858 atau talian kecemasan 999.