
SEPANG, 4 November– Momentum dan pendekatan satu perlumbaan pada satu masa, perlu dikekalkan pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli menjelang Grand Prix (GP) Qatar minggu ini.
- Jangan dibebani tekanan kedudukan kejuaraan; tumpu prestasi sendiri.
- Fokus pada memperbaiki prestasi setiap perlumbaan; ulangi prestasi terbaik seperti di Sepang.
- Sebagai pelumba rookie, perlu belajar menyesuaikan diri dengan litar berbeza dan bina konsistensi.
- Pasukan mahu dia utamakan prestasi sendiri dan biarkan kutipan mata tentukan kedudukan kejuaraan.
Pengurus pasukan SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin berkata pelumba berusia 19 tahun itu juga tidak perlu dibebani tekanan memikirkan kedudukan kejuaraan Moto3.
Beliau sebaliknya perlu memberi tumpuan sepenuhnya kepada prestasi sendiri dan memastikan setiap perlumbaan dilalui dengan lebih baik.
Menurutnya, pendekatan itu terbukti berkesan pada GP Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang, yang menyaksikan Hakim Danish tampil lebih meyakinkan sebelum menamatkan perlumbaan di tempat keempat, meskipun memulakan aksi dari petak ketiga.
“Pendekatan saya selepas ini ialah memastikan Hakim Danish melalui setiap perlumbaan dengan lebih baik dan fokus. Kita mahu dia mengulangi prestasi seperti di Sepang pada perlumbaan di Qatar,” katanya.
Zulfahmi berharap Hakim Danish dapat membawa pendekatan sama ke Qatar dengan mengutamakan prestasi sendiri, sekali gus membiarkan kutipan mata menentukan kedudukannya dalam kejuaraan.
Dalam masa sama, beliau mengakui pelumba itu masih melalui proses pembelajaran dalam musim sulungnya di Moto3, terutama ketika berdepan litar yang mempunyai karakter berbeza.
Katanya, meskipun Hakim Danish memiliki potensi besar, cabaran sebagai pelumba rookie menuntutnya membina konsistensi kerana tahap kesesuaian dan prestasi boleh berubah dari satu litar ke litar lain.
“Kita sememangnya tahu potensi Danish, tetapi melalui musim sebagai pelumba rookie bukan mudah untuk mengekalkan konsistensi. Ada litar yang belum pernah kita kunjungi dan dia perlu menyesuaikan diri. Ada juga litar yang pernah dilaluinya tetapi dia masih bergelut untuk mendapatkan kelajuan. Itulah proses yang perlu kita uruskan bagi seorang pelumba rookie,” katanya.
Hakim Danish kini menghuni tangga kesembilan keseluruhan kejuaraan Moto3 dengan mengumpul 116 mata.
Tumpuan kini terarah kepada kemampuannya mengulangi prestasi cemerlang di Sepang apabila turun beraksi di Qatar minggu ini.