
KUALA LUMPUR, 4 November – Kerajaan Sarawak menyalurkan peruntukan tambahan RM1.51 juta bagi memperkukuh projek Sandbox Gedong menerusi aplikasi teknologi pertanian pintar, dalam usaha meningkatkan produktiviti padi dan memperkasakan keterjaminan makanan negeri.
- Kerjasama UPMS dan Putra Science Park mengintegrasikan teknologi pintar dan hasil penyelidikan untuk meningkatkan kecekapan serta produktiviti penanaman padi.
- Inisiatif menyokong keterjaminan makanan Sarawak dan selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak 2030.
- UPMS diposisikan sebagai Wadah Keterjaminan Makanan Borneo, memanfaatkan sumber dan kepelbagaian komuniti untuk penyelesaian pertanian inovatif.
- Majlis konvokesyen ke-50 menyaksikan 619 graduan, pelancaran Anugerah Pingat Emas Alumni dan galakan kerjaya dalam sektor makanan serta pertanian.
Pro Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Tan Sri Peter Chin Fah Kui berkata, projek yang dilaksanakan menerusi kerjasama UPM Kampus Sarawak (UPMS) dan Putra Science Park itu mengintegrasikan pelbagai teknologi serta hasil penyelidikan universiti bagi meningkatkan kecekapan dan produktiviti penanaman padi.
Inisiatif tersebut bukan sahaja berpotensi meningkatkan hasil pengeluaran, malah menyokong usaha Sarawak memperkukuh keterjaminan makanan menerusi pembangunan sektor pertanian berasaskan inovasi, selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak 2030 (PCDS 2030).
“UPMS memainkan peranan penting sebagai Wadah Keterjaminan Makanan Borneo dengan memanfaatkan kekayaan sumber, kepelbagaian komuniti serta potensi pembangunan Sarawak.
“Ini membuka peluang luas untuk mengintegrasikan ilmu pertanian, sains, teknologi dan pengurusan bagi menghasilkan penyelesaian inovatif yang memberi manfaat nyata kepada masyarakat,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan UPM.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas sokongan dan kerjasama erat Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh peranan UPMS ke arah merealisasikan aspirasi Sarawak Maju Makmur 2030.
Dalam pada itu, beliau menggalakkan para graduan agar melihat sektor makanan dan pertanian sebagai bidang yang menawarkan peluang luas untuk meneroka inovasi, menyumbang kepakaran serta membina kerjaya demi kesejahteraan masyarakat dan negara.
Pengumuman tersebut dibuat sempena Majlis Konvokesyen UPM Ke-50 Sidang 1 yang menyaksikan seramai 619 graduan menerima ijazah dan diploma masing-masing di UPM Kampus Sarawak pada 2 dan 3 November 2026.
Pecahan graduan merangkumi 21 penerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD), 21 Ijazah Sarjana, 100 Ijazah Bacelor dan 477 penerima Diploma.
Majlis berkenaan turut mencatatkan sejarah tersendiri apabila UPMS buat julung kalinya memperkenalkan Anugerah Pingat Emas Alumni tajaan Persatuan Alumni UPM bagi mengiktiraf pencapaian holistik graduan diploma serta mengukuhkan hubungan berterusan antara alumni dan UPM.