
PUTRAJAYA, 3 November – Penggunaan teknologi digital, data yang boleh dipercayai serta pemantauan berkesan penting bagi mengesan risiko berkaitan air lebih awal, sekali gus memperkukuh pengurusan sumber air negara.
- Penyelidikan saintifik dan teknologi membolehkan penilaian risiko lebih teliti serta meningkatkan ketepatan keputusan dalam pengurusan air.
- Perubahan iklim, taburan hujan tidak menentu, kejadian banjir dan kemarau serta kenaikan permintaan membebankan sistem air negara.
- Pengurusan air perlu diperkukuh melalui gabungan kepakaran sains, teknologi, dasar dan kejuruteraan.
- Setiap penyelesaian mesti diuji dalam keadaan sebenar sebelum diperluaskan, dan projek rintis dinilai keberkesanan serta manfaat jangka panjang.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, penerapan teknologi dan penyelidikan saintifik membolehkan risiko dinilai dengan lebih teliti, selain meningkatkan ketepatan keputusan dalam menangani cabaran berkaitan air.
“Pemantauan yang lebih baik, data yang boleh dipercayai, peralatan digital dan penyelidikan saintifik dapat membantu kita mengenal pasti risiko lebih awal, menilai pilihan dengan lebih teliti serta meningkatkan mutu keputusan,” katanya ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa Pertama mengenai Ekohidrologi dan Daya Tahan Air (ICEWR 2026).
Menurutnya, tekanan terhadap sistem air kini semakin kompleks berikutan perubahan iklim, corak taburan hujan tidak menentu, kejadian banjir dan kemarau serta peningkatan permintaan susulan pembangunan pesat.
Pendekatan pengurusan air perlu diperkukuh menerusi gabungan kepakaran sains, teknologi, dasar dan kejuruteraan bagi memastikan sistem air negara kekal berdaya tahan.
Beliau turut menegaskan bahawa setiap penyelesaian perlu diuji dalam keadaan sebenar sebelum diperluaskan, manakala projek rintis yang berjaya perlu dinilai dari segi keberkesanan serta manfaat jangka panjang.