Rekod cemerlang bukan alasan terlepas tindakan undang-undang

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 3 November – Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang dakwaan salah laku membabitkan penjawat awam, termasuk pegawai kanan agensi penguatkuasaan, sebaliknya menyerahkan perkara itu kepada proses siasatan dan perundangan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rekod perkhidmatan cemerlang tidak mengecualikan tindakan undang-undang jika terdapat dakwaan terhadap pegawai.
  • Semua dakwaan mesti disiasat secara profesional tanpa campur tangan kerajaan atau Menteri Dalam Negeri; mangsa berhak mendapat keadilan.
  • Keputusan pendakwaan di bawah bidang kuasa Jabatan Peguam Negara; penyelesaian dalaman tidak boleh menggantikan proses undang-undang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, rekod perkhidmatan cemerlang seseorang pegawai tidak boleh dijadikan alasan untuk mengecualikannya daripada tindakan undang-undang sekiranya terdapat dakwaan atau aduan terhadap individu berkenaan.

Menurut beliau, setiap dakwaan perlu ditangani secara profesional tanpa sebarang campur tangan kerajaan atau mana-mana pihak.

“Namun, apabila ada dakwaan atau aduan, proses undang-undang mesti dipatuhi. Sebaik mana pun seorang pegawai, apabila ada dakwaan, biarlah siasatan dijalankan tanpa campur tangan saya atau Menteri Dalam Negeri.

“Mengenai isu penguat kuasa yang didakwa, saya tegaskan sekali lagi, kebaikan masa lalu tidak memadamkan pelanggaran undang-undang masa kini. Seperti kes Ketua Polis Negara pada tahun 1998, apabila tindakan melampaui batas hukum, tindakan undang-undang terpaksa diambil tanpa memilih kasih.

“Apabila ada aduan jenayah, Menteri Dalam Negeri tidak boleh dipertanggungjawabkan untuk “menutup” kes tersebut secara dalaman kerana mangsa yang membuat laporan juga berhak mendapat keadilan. Berikan ruang kepada pihak berkuasa dan Menteri Dalam Negeri untuk menguruskan isu ini mengikut kaedah dan lunas perundangan yang ada,” katanya di Dewan Rakyat.

Perdana Menteri berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid berhubung cadangan penyelesaian secara dalaman membabitkan Ketua Pengarah Agensi Keselamatan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Suhaili Mohd Zin.

Tegas Datuk Seri Anwar, keputusan untuk mendakwa seseorang individu terletak di bawah bidang kuasa Jabatan Peguam Negara, manakala tindakan terhadap penjawat awam perlu dilaksanakan mengikut prosedur ditetapkan.

“Kerajaan tidak boleh menggunakan pendekatan penyelesaian dalaman semata-mata bagi mengelakkan sesuatu kes daripada melalui proses undang-undang, khususnya apabila terdapat pihak yang membuat laporan dan berhak mendapat keadilan.

“Prinsip keadilan dan pematuhan kepada undang-undang perlu terpakai kepada semua pihak tanpa mengira kedudukan atau jasa seseorang individu,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.