KKM bangunkan semula program doktor udara, tubuh unit khusus

Gambar hiasan/ RTM

KUALA LUMPUR, 3 November – Kementerian Kesihatan (KKM) sedang membangunkan semula Program Perkhidmatan Doktor Udara (PDU) menerusi penubuhan unit khusus bagi menyelaras dan memantau perkhidmatan kesihatan bergerak secara bersepadu di seluruh negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Nahas helikopter pada 8 September menyebabkan operasi PDU di Sarawak ditangguhkan sementara untuk membolehkan siasatan dijalankan.
  • Aspek teknikal, penyelenggaraan pesawat dan prosedur keselamatan penerbangan tertakluk kepada piawaian ketat CAAM.
  • KKM menubuhkan jawatankuasa bebas untuk penilaian dalaman menyeluruh terhadap pelaksanaan kontrak dan pengurusan risiko operasi.
  • Semasa penangguhan, akses rawatan pedalaman diteruskan melalui pengangkutan darat dan air; MEDEVAC diselaraskan dengan JBPM dan agensi berkaitan.

Langkah proaktif itu diambil susulan nahas helikopter di Long Lellang, Sarawak pada 8 September lalu yang menyebabkan penangguhan sementara operasi PDU di negeri berkenaan bagi membolehkan siasatan dijalankan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, unit khusus itu akan menyelia penyelarasan operasi perkhidmatan darat, air dan udara bermula dari peringkat Ibu Pejabat KKM dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) hingga ke peringkat lapangan.

“Penstrukturan semula ini bermatlamat memastikan setiap perolehan kontrak perkhidmatan penerbangan sentiasa mengambil kira piawaian keselamatan semasa, kesesuaian aset serta kebajikan dan keselamatan anggota bertugas.

“Di samping itu, aspek teknikal termasuk penyelenggaraan pesawat dan prosedur keselamatan penerbangan kekal tertakluk kepada pengesahan standard ketat Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM),” katanya menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Sibu, Oscar Ling Chai Yew dan Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa mengenai langkah memperkukuh keselamatan operasi helikopter PDU susulan kejadian di Ulu Baram, Sarawak yang meragut lima nyawa.

Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Seri Dr Dzulkefly berkata, KKM turut menubuhkan sebuah jawatankuasa bebas bagi melaksanakan penilaian dalaman menyeluruh, meliputi pelaksanaan kontrak dan pengurusan risiko operasi.

“Pengoperasian semula PDU di Sarawak hanya akan dipertimbangkan selepas siasatan rasmi selesai serta hasil dapatan jawatankuasa bebas tersebut diperoleh.

“Bagi menjamin kesiapsiagaan petugas, KKM melaksanakan program latihan khas dan pengukuhan kompetensi, sebelum mana-mana anggota dibenarkan menyertai misi di lapangan.

“Sepanjang tempoh penangguhan operasi udara di Sarawak, akses rawatan bagi penduduk pedalaman diteruskan melalui mod pengangkutan darat dan air, manakala kes pemindahan perubatan kecemasan (MEDEVAC) diselaraskan bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta agensi berkaitan,” katanya.

Pada 8 September lalu, helikopter BO-105 yang menjalankan operasi PDU terhempas berhampiran Long Lellang STOLport, Ulu Baram ketika dalam perjalanan menjalankan tugasan perkhidmatan kesihatan di kawasan pedalaman Sarawak.

Nahas itu mengorbankan lima individu di dalam helikopter berkenaan iaitu juruterbang, Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30; pegawai perubatan, Dr Ainul Baraah Kamaruddin, 33; penolong pegawai perubatan, Alexson Adit Henry, 31, serta dua jururawat, Debra Moset, 40, dan Jessie Paya Jok, 44.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.