Graduan perlu cipta peluang pekerjaan

Pro-Canselor UMK, Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra, berkenan membacakan teks titah ucapan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V pada Istiadat Konvokesyen Ke-16 UMK di Dewan Tuanku Canselor, UMK Bachok / BERNAMA

BACHOK, 2 November– Graduan universiti digesa tidak sekadar menjadi pencari kerja, sebaliknya bangkit dengan mencipta peluang pekerjaan baharu bagi mendepani era ledakan Kecerdasan Buatan (AI) serta ekonomi digital.

RINGKASAN BERITA AI
  • Gunakan DNA keusahawanan untuk merintis rantaian pasaran berteraskan teknologi dan beretika.
  • Kuasai teknologi pintar dan e-dagang rentas sempadan untuk memodenkan rantaian pasaran tempatan.
  • Perkukuhkan ekosistem keusahawanan UMK, penyelidikan berfokus kesejahteraan komuniti dan sokong pelan pembangunan negeri terancang.

Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V bertitah kepesatan ekonomi digital menuntut gaduan memanfaatkan DNA keusahawanan untuk merintis rantaian pasaran baharu berteraskan teknologi dan nilai etika yang tinggi.

Baginda yang juga Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK) bertitah perubahan pantas landskap pekerjaan global ketika ini, wajar dilihat menerusi mata hati seorang perintis.

“Graduan UMK perlu menguasai teknologi pintar dan e-dagang rentas sempadan bagi memodenkan rantaian pasaran tempatan,” titah Baginda.

Teks titah ucapan Baginda dibacakan oleh Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra pada Majlis Istiadat Konvokesyen UMK ke-16 di, sini.

Menyerlahkan sambutan dua dekad penubuhan UMK sejak 2006, Sultan Muhammad V meletakkan harapan tinggi menerusi Pelan Strategik UMK 2026–2030 agar universiti berkenaan terus memperkukuh ekosistem keusahawanan holistik serta penyelidikan berasaskan kesejahteraan komuniti.

Dalam pada itu, Baginda turut menggesa Kerajaan Negeri melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) memberi keutamaan kepada UMK untuk menerajui penyediaan Pelan Pembangunan Negeri Kelantan 2025–2055.

Ia penting bagi menggembeleng kepakaran akademik ke arah pembangunan negeri yang lebih terancang, inklusif dan mampan.

Pada masa sama, baginda juga mengingatkan graduan supaya menyumbang ilmu dan kepakaran kepada masyarakat akar umbi demi mengangkat taraf hidup warga desa serta pengusaha kecil tempatan.

Majlis Istiadat Konvokesyen Ke-16 UMK menyaksikan seramai 4,035 graduan menerima ijazah masing-masing, dengan 94 daripadanya merupakan penerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD).

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.