
GUA MUSANG, 1 November – Pembinaan jambatan sementara jenis Bailey akan dilaksanakan di Kampung Brooke Lama, Pos Brooke, bagi memulihkan akses perhubungan penduduk Orang Asli selepas jambatan gantung yang merentasi Sungai Belatop runtuh dibadai kepala air pada 20 Oktober lalu.
- Lebih 100 penduduk Orang Asli terjejas; pergerakan ke sekolah dan tempat kerja terganggu.
- JAKOA merancang mencadangkan jambatan gantung kekal kepada KKDW pada 2027, dengan aras lebih tinggi bagi keselamatan kepala air.
- Penduduk mahu pembinaan segera; menyeberangi sungai berbahaya ketika hujan dan risiko tanah runtuh menimbulkan kebimbangan.
Runtuhan jambatan berkenaan menjejaskan laluan utama lebih 100 penduduk Orang Asli suku kaum Temiar, sekali gus menyukarkan urusan harian termasuk pergerakan ke tempat kerja dan sekolah.
Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Kelantan dan Terengganu, Mohd Faedzyal Mohamed berkata, cadangan pembinaan jambatan gantung kekal pula akan dikemukakan kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) pada 2027.
“Bagi penyelesaian sementara, kita memberi tumpuan kepada pembinaan jambatan jenis Bailey. Manakala cadangan pembinaan jambatan kekal akan dikemukakan pada tahun 2027 dan perkembangannya akan terus dipantau dari semasa ke semasa.
“Jambatan gantung yang dicadangkan itu juga akan dibina pada aras lebih tinggi bagi memastikan kedudukannya melepasi paras air sungai ketika berlaku kepala air,”katanya kepada pemberita RTM.
Tambahnya, pembinaan jambatan sementara itu akan diberi keutamaan bagi membolehkan penduduk kembali menggunakan laluan berkenaan, sementara perancangan jangka panjang dilaksanakan.
Sementara itu, Penghulu Kampung Brooke Lama, Rian Bujang berharap pembinaan jambatan baharu dapat disegerakan kerana laluan berkenaan merupakan akses utama penduduk, termasuk murid sekolah.
Menurutnya, penduduk terpaksa mengharungi Sungai Belatop untuk ke seberang sejak jambatan gantung itu runtuh, namun keadaan menjadi berbahaya apabila hujan menyebabkan paras air sungai meningkat.
“Kami berharap pembinaan jambatan baharu dapat disegerakan kerana laluan itu merupakan akses utama penduduk, termasuk murid sekolah dan mereka yang keluar bekerja mencari rezeki.
“Sejak jambatan runtuh, kami terpaksa menyeberangi sungai untuk ke seberang. Laluan itu masih boleh dilalui ketika cuaca baik, tetapi berbahaya apabila hujan.
“Selain itu, jalan masuk ke kampung juga berisiko mengalami tanah runtuh, terutama di kawasan berhampiran sungai yang terletak di bahu jalan utama,”katanya kepada pemberita.
Kebimbangan sama turut disuarakan penduduk, Leha Jemsi yang berharap jambatan baharu dapat dibina segera bagi mengelakkan kesukaran penduduk untuk berulang-alik ke tempat kerja, terutama ketika musim hujan.
“Keadaan ini menyukarkan kami kerana bimbang sekiranya hujan turun dan paras air sungai meningkat. Jika cuaca baik, barulah paras air sedikit surut.
“Kami berharap jambatan baharu dapat dibina secepat mungkin kerana jika terpaksa menunggu sehingga sebulan atau dua bulan, urusan harian termasuk untuk keluar bekerja akan terus terjejas,” katanya kepada pemberita.
Terdahulu, jambatan gantung yang merentasi Sungai Belatop dihanyutkan kepala air pada kira-kira pukul 5.30 petang, 20 Oktober lalu.
Kejadian berlaku selepas hujan mula turun sekitar pukul 4 petang sebelum paras air sungai meningkat dan arus menjadi deras.