
KOTA KINABALU, 31 Oktober- Sabah FC perlu memperbaiki beberapa aspek permainan bagi memastikan prestasi lebih konsisten dalam aksi Liga Super 2026/2-27 selepas menewaskan Terengganu FC 2-0 di Stadium Likas, di sini, malam tadi.
- Alto Linus memuji komitmen pemain; objektif utama semasa perlawanan adalah meraih tiga mata penuh.
- Pasukan akan meneruskan latihan dengan fokus memperbaiki kelemahan dan meningkatkan prestasi keseluruhan.
- Alto menghargai kehadiran penyokong dan berharap sokongan berterusan dapat menyuntik semangat pasukan.
- Enrique Lopez dan Gonzalo Di Renzo menjaringkan gol, Terengganu beraksi dengan 10 pemain selepas kad merah Romel Morales.
Penolong Jurulatih Sabah FC, Alto Linus berkata kemenangan di laman sendiri itu memenuhi sasaran pasukan untuk meraih tiga mata penuh hasil komitmen dan kerja keras pemain sepanjang perlawanan.
“Pertama sekali, tahniah kepada pasukan dan semua pemain yang bekerja keras untuk memastikan kami memperoleh keputusan positif malam ini. Objektif utama ketika bermain di laman sendiri adalah untuk mendapatkan tiga mata penuh,” katanya.
Alto berkata, pasukan akan meneruskan latihan dan persiapan bagi menghadapi perlawanan seterusnya dengan memberi tumpuan kepada usaha memperbaiki kelemahan serta meningkatkan prestasi keseluruhan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penyokong yang hadir ke Stadium Likas dan berharap sokongan berterusan mereka dapat menyuntik semangat kepada pasukan untuk terus mencatat keputusan positif.
Sabah FC membuka jaringan menerusi Enrique Lopez Fernandez pada minit ke-21 sebelum Gonzalo Di Renzo menggandakan kelebihan empat minit kemudian.
Terengganu FC beraksi dengan 10 pemain selepas Romel Morales dilayangkan kad merah pada minit ke-41, sekali gus menambah cabaran pasukan pelawat untuk mengejar defisit dua gol.
Sabah FC mengekalkan kelebihan sehingga tamat perlawanan untuk meraih kemenangan di hadapan 1,404 penonton.
Keputusan itu menyaksikan Sabah FC kekal di tangga kelima dengan 10 mata, manakala Terengganu FC berada di kedudukan kesembilan dengan lima mata selepas enam perlawanan.