Anggota polis disyaki minta, terima rasuah RM3,000

Foto RTM

SEREMBAN, 31 Oktober – Seorang anggota polis direman empat hari sehingga 3 November ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan meminta dan menerima rasuah kira-kira RM3,000 daripada pasangan suami isteri.

RINGKASAN BERITA AI
  • Anggota polis disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM3,000 daripada pasangan suami isteri.
  • Wang dipercayai diberi sebagai balasan supaya tiada tindakan diambil terhadap kes pergaduhan melibatkan ahli keluarga pasangan terbabit.
  • Suspek lelaki lingkungan 30-an ditahan kira-kira pukul 10 malam di sebuah ibu pejabat polis daerah di Negeri Sembilan.
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan pengarah SPRM Negeri Sembilan mengesahkan penahanan.

Wang berkenaan dipercayai sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan terhadap kes pergaduhan membabitkan ahli keluarga pasangan terbabit.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Nurul Azuin Mohd Talhah selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Jenayah Dua Seremban, pagi tadi.

Suspek lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan kira-kira pukul 10.00 malam semalam di sebuah ibu pejabat polis daerah di Negeri Sembilan.

Siasatan awal mendapati suspek dipercayai meminta dan menerima wang berkenaan pada 29 Oktober lalu ketika menjalankan siasatan awal kes terbabit di pejabatnya.

Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.