Lebih 6,000 program KIS dilaksana di seluruh negara

Gambar Hiasan /RTM

SABAK BERNAM, 31 Oktober – Sebanyak 6,464 program Kempen Internet Selamat (KIS) telah dilaksanakan di seluruh negara sehingga 20 Oktober lalu, melibatkan 2.1 juta penyertaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pencapaian mencerminkan usaha berterusan MCMC meningkatkan kesedaran keselamatan internet, khususnya mengekang jenayah penipuan dalam talian.
  • Kempen perlu diperluas ke kawasan luar bandar bagi meningkatkan pengetahuan masyarakat tentang taktik penipuan dalam talian.
  • Banyak aduan mangsa kehilangan wang dan akses akaun bank menunjukkan kepentingan pencegahan melalui kempen seperti ini.
  • Keselamatan digital perlu menjadi amalan harian; masyarakat mesti melindungi golongan rentan termasuk warga emas.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim berkata, daripada jumlah keseluruhan itu, sebanyak 189 program telah dilaksanakan di Selangor dengan penglibatan kira-kira 800,000 peserta.

Pencapaian itu mencerminkan usaha berterusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap keselamatan penggunaan internet, khususnya bagi mengekang jenayah penipuan dalam talian.

Kempen tersebut perlu diperluas ke kawasan luar bandar bagi meningkatkan pengetahuan masyarakat mengenai taktik penipuan dalam talian yang semakin membimbangkan.

Pihaknya sering menerima aduan daripada penduduk yang menjadi mangsa penipuan sehingga kehilangan wang serta akses kepada akaun bank.

“Oleh sebab itu, kempen seperti ini amat penting bagi mencegah kejadian seumpama ini daripada terus berlaku, khususnya kes kehilangan wang akibat ditipu oleh ‘scammer’ atau terjebak dengan penipuan dalam talian yang semakin berleluasa.

“Kempen anjuran MCMC itu amat bertepatan pada masanya dalam membantu masyarakat, khususnya penduduk di kawasan luar bandar seperti Sekinchan dan Sabak Bernam, meningkatkan kesedaran tentang langkah-langkah pencegahan agar mereka tidak mudah terpedaya atau terpukau dengan janji manis, helah serta pelbagai taktik yang digunakan oleh ‘scammer’.

“Oleh itu, saya berharap agar MCMC dapat menganjurkan lebih banyak kempen seumpama ini secara berterusan dan bukan hanya pada hari ini sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Komuniti Kempen Kesedaran Internet Selamat dan Larian Wira Merah di Balai Bomba dan Penyelamat Sekinchan di sini.

Menurutnya, usaha meningkatkan keselamatan digital tidak seharusnya terhenti setakat penganjuran program kesedaran, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada amalan harian setiap keluarga dan komuniti.

Dalam pada itu, masyarakat digalakkan memainkan peranan melindungi golongan rentan termasuk warga emas daripada menjadi sasaran penjenayah siber.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.