
SUNGAI PETANI, 31 Oktober – Program MADANI Kita (PMK) memberi peluang kepada rakyat, khususnya golongan belia, mendapatkan barangan keperluan pada harga berpatutan, selain menyediakan platform untuk menyuarakan aduan dan mendapatkan bantuan daripada agensi kerajaan berkaitan.
- PMK menyediakan pelbagai perkhidmatan langsung seperti Jualan RAHMAH, pemeriksaan kesihatan, penukaran minyak motosikal, pertukaran topi keledar dan gunting rambut percuma.
- Kerajaan turun padang mendengar keluhan rakyat dan membawa agensi berkaitan menyediakan perkhidmatan serta inisiatif secara terus kepada masyarakat.
- PMK menyalurkan bantuan seperti Bakul RAHMAH, wang ehsan kepada mangsa ribut dan tablet Sejahtera MADANI kepada golongan B40.
Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, menerusi program itu, pengunjung berpeluang mendapatkan pelbagai perkhidmatan termasuk Jualan RAHMAH, Jualan Agro MADANI, reruai pameran dan perkhidmatan kerajaan, pemeriksaan kesihatan dan pergigian, penukaran minyak enjin motosikal, pertukaran topi keledar serta perkhidmatan gunting
rambut secara percuma.
Inisiatif itu bukan sahaja membantu meringankan beban perbelanjaan harian, malah memudahkan rakyat mendapatkan maklumat mengenai perkhidmatan serta bantuan kerajaan secara terus.
“Ini merupakan inisiatif kerajaan untuk turun padang dan mendengar sendiri keluhan serta permasalahan rakyat.
“Bukan sekadar mendengar, kita turut membawa agensi berkaitan untuk menyediakan reruai yang menawarkan pelbagai perkhidmatan dan inisiatif kerajaan secara langsung kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program MADANI Kita (PMK) Sidam anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Negeri Kedah di Pejabat Penghulu Mukim Sidam Kiri, di sini yang dihadiri lebih 2,000 pengunjung.
Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan Bakul RAHMAH yang mengandungi makanan dan barangan keperluan asas kepada 100 penerima di kawasan DUN Sidam serta bantuan wang ehsan kepada 65 mangsa ribut di kawasan berkenaan.
Turut diadakan pemberian anak pokok manggis, Bendang Run, pertandingan e-sukan, Jom Exchange Al-Quran serta aktiviti dan sesi perkongsian maklumat melalui pocket talk pelbagai agensi.
Pada masa sama, kira-kira 12 unit tablet bawah inisiatif Sejahtera MADANI diserahkan kepada golongan B40.
Selaras dengan tema Memaknai Harapan Rakyat, penganjuran PMK 2026 mencerminkan komitmen berterusan kerajaan untuk mendekati masyarakat, memperluas akses rakyat kepada perkhidmatan serta memperkukuh system penyampaian pada peringkat akar umbi.