
SHAH ALAM, 31 Oktober – Inisiatif Parcel Shield diperkenalkan bagi meningkatkan perlindungan pengguna daripada kegiatan penipuan dalam talian yang menggunakan modus operandi penghantaran bungkusan palsu.
- Kerjasama antara Kementerian Komunikasi, MCMC dan syarikat kurier untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang taktik penipuan bungkusan palsu.
- Penipu hantar mesej kononnya penghantar tiba, tiada penerima, lalu minta klik pautan; pautan boleh godam telefon dan akses akaun bank.
- Maklumat dipaparkan di platform kurier, laman khas dan AMEC; 13,045 kandungan penipuan/larangan dikesan, 44 kertas siasatan, 2 pendakwaan.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, inisiatif itu merupakan hasil kerjasama antara Kementerian Komunikasi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta syarikat kurier bagi meningkatkan kesedaran orang ramai tentang taktik penipuan berkenaan.
Menurutnya, antara modus operandi yang digunakan sindiket ialah menghantar mesej mendakwa penghantar telah tiba tetapi tiada penerima di rumah, sebelum meminta mangsa mengklik pautan tertentu.
“Mesej seperti ini merupakan antara taktik penipu untuk menggodam telefon bimbit dan mengakses akaun bank mangsa.
“Maklumat mengenai inisiatif ini akan dipaparkan pada platform setiap syarikat kurier. Laman web khusus juga akan disediakan, manakala maklumat lanjut boleh diperoleh melalui Persatuan Syarikat Penghantaran Ekspres Malaysia (AMEC),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Kurier Negara 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Selangor (SITC), di sini, pada Sabtu.
Dalam perkembangan berkaitan, sebanyak 13,045 kandungan berkaitan penipuan, perjudian dan perkhidmatan tidak dibenarkan dikesan pada platform e dagang bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Oktober tahun ini.
Daripada jumlah itu, lebih 5,000 kandungan berkaitan penipuan dikenal pasti hasil aduan orang ramai, manakala 172 kandungan melibatkan perjudian dan 7,789 lagi berkaitan perkhidmatan tidak dibenarkan.
“Sehingga 30 Oktober, sebanyak 44 kertas siasatan dibuka berhubung kandungan yang diminta untuk diturunkan.
“Dua daripadanya telah membawa kepada pendakwaan di mahkamah, manakala lebih separuh masih dalam proses siasatan,” jelasnya.