Median gaji minimum kekal RM3,000


Pengarah Urusan Jobstreet by SEEK Malaysia, Nicholas Lam

KUALA LUMPUR, 31 Oktober – Median gaji minimum bagi kekosongan jawatan di Malaysia kekal pada RM3,000 pada suku kedua 2026, tidak berubah berbanding tempoh sama tahun lepas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perbankan dan Perkhidmatan Kewangan iklankan median gaji minimum meningkat 14.3% kepada RM4,000; ICT naik 11.1% kepada RM5,000.
  • Perbezaan lokasi ketara: Kuala Lumpur RM3,500, Sabah RM2,100, Kelantan/Terengganu/Pahang RM2,000 mencerminkan variasi tawaran pekerjaan.
  • Pencari kerja perlu bandingkan tugas, pengalaman dan kos perumahan/transport; majikan patut nyatakan julat gaji dan keperluan kerja jelas.

Pengarah Urusan Jobstreet by SEEK Malaysia, Nicholas Lam berkata, data platform itu turut menunjukkan nilai median gaji minimum untuk beberapa sektor penting bagi tempoh April hingga Jun lalu.

”Perbankan dan Perkhidmatan Kewangan dengan median gaji minimum yang diiklankan meningkat 14.3 peratus kepada RM4,000 berbanding RM3,500 setahun sebelumnya.

”Sektor Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) turut mencatatkan peningkatan 11.1 peratus kepada RM5,000 daripada RM4,500 dalam tempoh sama,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi suku kedua 2026 merekodkan median gaji bulanan RM3,000 bagi pekerja warganegara dalam sektor formal pada Jun 2026, meningkat 4.8 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, data DOSM merujuk kepada gaji yang diterima pekerja sektor formal, termasuk bonus, komisen dan elaun, manakala data Jobstreet berdasarkan median gaji minimum yang diiklankan dalam kekosongan jawatan.

Dari segi lokasi, Kuala Lumpur mencatatkan median gaji minimum yang diiklankan sebanyak RM3,500, berbanding RM2,100 di Sabah dan RM2,000 bagi gabungan negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Nicholas berkata, perbezaan itu mencerminkan variasi tawaran pekerjaan mengikut lokasi dan tidak semestinya menggambarkan jurang gaji bagi pekerjaan yang sama.

”Pencari kerja perlu membandingkan tawaran berdasarkan tanggungjawab dan pengalaman yang diperlukan, selain mengambil kira kos perumahan serta pengangkutan sekiranya mempertimbangkan peluang pekerjaan di lokasi lain.

”Pada masa sama, majikan wajar menyediakan julat gaji serta keperluan kemahiran dan tanggungjawab kerja yang jelas bagi membantu calon menilai kesesuaian sesuatu tawaran pekerjaan,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.