
SAN FRANCISCO, 31 Oktober – Kegembiraan sambutan Halloween bertukar tragedi apabila seorang terbunuh manakala enam lagi cedera dalam satu insiden tembakan di sebuah kedai barangan Halloween di utara California, Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat.
- Kejadian berlaku kira-kira pukul 8:30 malam di sebuah kedai dalam pusat beli-belah di Fairfield, utara California.
- Mangsa dikejarkan ke hospital untuk rawatan; sekurang-kurangnya tiga dilaporkan dalam keadaan kritikal.
- Kawasan ditutup bagi siasatan dan polis sedang aktif mengesan suspek; identiti serta bilangan penembak belum dipastikan.
Polis berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 8:30 malam waktu tempatan di kedai yang terletak di sebuah pusat beli-belah di Fairfield, kira-kira 76 kilometer ke timur laut San Francisco.
Ketua Polis Fairfield, Dan Marshall berkata mangsa yang cedera dikejarkan ke hospital berdekatan bagi mendapatkan rawatan.
“Sekurang-kurangnya tiga daripada mereka dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.
“Kawasan berkenaan masih ditutup bagi siasatan lanjut mengenai punca kejadian dan pihak polis sedang aktif mengesan suspek yang terlibat,” kata Marshall dalam satu kenyataan media lewat malam Jumaat.
Beliau menambah, identiti suspek atau jumlah penembak yang terlibat masih belum dapat dipastikan buat masa ini.
Kejadian berdarah itu berlaku beberapa jam sebelum bermulanya sambutan Halloween yang disambut secara meluas di seluruh AS pada Sabtu.
Bagaimanapun, pihak berkuasa mengesahkan tiada kawasan luar dari pusat beli-belah berkenaan yang dikenakan kawalan pergerakan atau sekatan jalan raya.- AFP