
ANTANANARIVO, 31 Oktober – Operasi serbuan terhadap pusat penipuan dalam talian (scam centre) di Madagascar telah membongkar pembabitan kumpulan jenayah terancang dari Asia Tenggara yang memindahkan operasi mereka dari Kemboja, termasuk mengeksploitasi warga Afrika menerusi sindiket pemerdagangan manusia.
- 13 siri serbuan Ogos-September dengan kerjasama DOJ, sita kripto AS$52 juta (kira-kira RM220 juta) dan lebih 3,200 peranti dirampas.
- Majoriti operasi dikendalikan warga China; 148 suspek telah diekstradisi ke Beijing.
- Sindiket umpan warga Afrika melalui media sosial dengan tawaran kerja, rampas pasport dan paksa mereka menipu mangsa di negara Barat.
Kementerian Kehakiman Madagascar mengesahkan sindiket berkenaan menjalankan pelbagai modul penipuan seperti ‘romance scam’, pelaburan palsu dan mata wang kripto.
Majoriti operasi didalangi oleh warga China, dengan 148 daripadanya telah diekstradisi ke Beijing.
Menerusi 13 siri serbuan pada Ogos dan September lalu dengan kerjasama Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ), pihak berkuasa berjaya menyita mata wang kripto bernilai kira-kira AS$52 juta (RM220 juta) serta merampas lebih 3,200 peranti elektronik.
Penyelaras Unit Siber Kementerian Komunikasi Madagascar, Tsitohaina Ralihivao menambah, tindakan tegas pihak berkuasa Thailand dan Kemboja berhampiran sempadan kedua-dua negara telah memaksa sindiket tersebut mengalih lokasi operasi mereka ke benua Afrika.
Modus operandi sindiket ini menyerupai taktik yang digunakan di Asia Tenggara iaitu mangsa dari negara- Afrika yang bertutur dalam bahasa Inggeris seperti Kenya, Rwanda, Uganda dan Zimbabwe diumpan menerusi media sosial seperti Facebook dengan tawaran kerja sektor komersial.
Namun sebaik tiba di Madagascar, pasport mereka dirampas dan dipaksa bekerja sebagai penipu siber yang meletakkan sasaran mangsa di AS, Kanada dan negara-negara barat lain.
Pihak Biro Siasatan Persekutuan (FBI) turut memberi amaran bahawa pusat penipuan siber kini semakin pesat bertapak di Afrika susulan penutupan premis haram berkenaan di rantau Asia Tenggara.-AFP