Pindaan Akta Perkhidmatan Pos 2012 diluluskan peringkat dasar


Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil (tengah)

SHAH ALAM, 31 Oktober – Jemaah Menteri telah memberikan kelulusan pada peringkat dasar untuk meminda Akta Perkhidmatan Pos 2012 bagi memperkukuh kawal selia industri kurier, menjaga kebajikan pekerja serta meningkatkan perlindungan pengguna.

RINGKASAN BERITA AI
  • MCMC akan melibatkan semua syarikat penghantaran berlesen termasuk AMEC serta kementerian berkaitan dalam proses pindaan.
  • Draf pindaan akan disediakan dalam beberapa bulan, disemak Jabatan Peguam Negara dan dibentang semula sebelum dibawa ke Parlimen.
  • Kurier ditakrifkan sebagai salah satu perkhidmatan pos, menegaskan hubungan rapat antara perkhidmatan pos dan kurier.
  • Pindaan menumpukan keselamatan data peribadi serta perlindungan pengguna dan peniaga daripada penipuan dan kelemahan e-dagang.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan melibatkan semua syarikat penghantaran berlesen, termasuk Persatuan Syarikat Penghantaran Ekspres Malaysia (AMEC), serta kementerian berkaitan.

Antaranya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Kementerian Pengangkutan.

“Kita baru sahaja mendapat kelulusan pada peringkat dasar. Proses seterusnya melibatkan penyediaan draf dalam tempoh beberapa bulan, semakan bersama Jabatan Peguam Negara dan pembentangan semula kepada Jemaah Menteri sebelum dibawa ke Parlimen.

“Perkhidmatan pos dan kurier mempunyai kaitan rapat, dan kita mentakrifkan kurier sebagai salah satu perkhidmatan pos,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Kurier Negara 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Selangor (SITC), di sini, pada Sabtu.

Menurutnya, pindaan itu turut memberi tumpuan kepada keselamatan data peribadi rakyat Malaysia serta perlindungan hak pengguna dan peniaga daripada ancaman penipuan dan kelemahan perkhidmatan e dagang.

Sebelum ini, kerajaan menyatakan hasrat untuk meminda Akta Perkhidmatan Pos 2012 bagi memperkukuh kawal selia industri kurier, termasuk meningkatkan keselamatan penghantaran bagi mengelakkan perkhidmatan itu disalahgunakan untuk kegiatan menyalahi undang-undang.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.