
KUALA LUMPUR, 31 Oktober – Rakyat Malaysia kini boleh menggunakan kemudahan DuitNow QR untuk membuat pembayaran di lima destinasi luar negara iaitu China, Hong Kong, Korea Selatan, Filipina dan Laos.
- PayNet membolehkan DuitNow QR berfungsi melalui rangkaian Alipay+, membolehkan aplikasi perbankan tempatan melakukan pembayaran rentas sempadan.
- Maybank, CIMB dan Hong Leong mula menyokong kemudahan; Bank Islam dijangka menyusul tidak lama lagi.
- Pengguna hanya imbas kod QR bertanda Alipay+ dan sahkan transaksi dalam aplikasi bank tanpa muat turun aplikasi tambahan.
- Inisiatif ini sebahagian usaha jangka panjang PayNet untuk luaskan pembayaran selamat, memudahkan pelancongan dan kukuhkan hubungan ekonomi serantau.
Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) dalam kenyataan memaklumkan kemudahan itu membolehkan pengguna membuat pembayaran menggunakan aplikasi perbankan mudah alih tempatan yang menyokong perkhidmatan berkenaan menerusi rangkaian Alipay+.
Tiga bank terawal yang menawarkan kemudahan itu ialah Maybank, CIMB dan Hong Leong Bank, manakala Bank Islam dijangka menyusul tidak lama lagi.
”Pengguna hanya perlu membuka fungsi DuitNow QR dalam aplikasi perbankan masing-masing dan mengimbas kod QR yang memaparkan logo Alipay+ di premis peniaga yang mengambil bahagian.
”Transaksi boleh disemak dan disahkan menerusi aplikasi perbankan yang sama tanpa perlu memuat turun aplikasi lain atau membuka akaun Alipay+,” jelas kenyataan itu.
Ketua Pegawai Eksekutif PayNet, Praveen Rajan berkata inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha jangka panjang pihaknya untuk memperluas kemudahan pembayaran yang selamat dan boleh digunakan di luar negara.
”Kerjasama antara institusi kewangan dengan rakan pembayaran global ini juga menunjukkan usaha untuk memperluas jangkauan infrastruktur pembayaran negara, sekali gus memudahkan urusan pembayaran rakyat Malaysia ketika melancong.
”Dalam konteks yang lebih luas, ketersambungan pembayaran rentas sempadan yang lebih baik berpotensi mengukuhkan hubungan ekonomi Malaysia dengan negara serantau,” katanta dalam kenyataan sama.
Tambahnya, lima destinasi itu merupakan pasaran pertama yang menyokong kemudahan berkenaan, dengan lebih banyak negara akan ditambah secara berperingkat.
Dalam perkembangan berkaitan, PayNet merekodkan hampir 30 juta transaksi pembayaran rentas sempadan pada 2025, meningkat kira-kira 150 peratus berbanding tahun sebelumnya.##