
SEREMBAN, 31 Oktober – Pemilik dan penyewa empat rumah di kawasan belakang UTC Ampangan yang terjejas dalam kebakaran pada 25 Oktober lalu menerima bantuan kewangan bagi meringankan beban susulan kejadian itu.
- Bantuan kepada penyewa bagi menampung kos sewa rumah baru sementara ditempatkan di balai raya.
- Pemilik rumah akan menerima bantuan kewangan dan dibantu memohon peruntukan untuk membina semula kediaman.
- Kebakaran 25 Oktober memusnahkan hampir 80% empat rumah separuh kekal; semua 17 penghuni dilaporkan selamat.
Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke berkata, bantuan kepada penyewa bertujuan membantu mereka menampung kos mendapatkan rumah sewa baharu.
“Jadi hari ini saya datang untuk memberikan sedikit bantuan kewangan kepada penyewa-penyewa tersebut kerana mereka ini hilang tempat tinggal.
“Beberapa hari yang lalu mereka ini ditempatkan di balai raya. Sementara untuk mereka mencari tempat tinggal yang baharu, mereka perlu menyewa rumah baharu,” katanya selepas menyampaikan bantuan berkenaan, di sini.
Dalam pada itu, bantuan kewangan turut akan disalurkan kepada pemilik rumah yang kehilangan harta benda susulan kejadian tersebut.
Usaha juga akan dilakukan bagi membantu pemilik terbabit memohon peruntukan untuk membina semula kediaman mereka.
Kebakaran pada malam 25 Oktober itu membabitkan empat rumah separuh kekal yang musnah hampir 80 peratus.
Menurut bomba, kesemua 17 penghuni daripada empat rumah berkenaan dilaporkan selamat.