PRN Melaka: 1,159 anggota polis ditugaskan pada hari penamaan calon

Foto RTM

MACHAP JAYA, 31 Oktober – Seramai 1,159 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Melaka digerakkan bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sepanjang proses penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, pada Sabtu.

RINGKASAN BERITA AI
  • PDRM memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sepanjang PRN, termasuk pemantauan lalu lintas dan penyelarasan operasi.
  • Proses penamaan calon di semua pusat berjalan lancar dan terkawal tanpa insiden yang menjejaskan ketenteraman awam.
  • Polis mengingatkan semua pihak supaya mematuhi undang-undang pilihan raya, mengelakkan provokasi dan memantau penyalahgunaan media sosial.

Ketua Polis Melaka, DCP Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, jumlah itu melibatkan 511 anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, 378 anggota dari IPD Alor Gajah dan 270 anggota dari IPD Jasin.

Proses penamaan calon di 28 pusat penamaan calon bagi 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di enam kawasan Parlimen berlangsung lancar dan terkawal, tiada sebarang insiden yang menjejaskan ketenteraman awam dilaporkan sepanjang proses berkenaan.

“Setakat ini, keadaan di seluruh Melaka aman dan terkawal. Saya menyeru penyokong semua parti supaya mengekalkan keadaan ini, termasuk memastikan kelancaran lalu lintas.

Alhamdulillah, tiada kesesakan lalu lintas yang serius dilaporkan,” katanya pada sidang media bersempena Hari Penamaan Calon PRN Melaka ke-16 di Kompleks JAPERUN, di sini.

Tambahnya, penugasan anggota akan diselaraskan mengikut keperluan operasi sepanjang tempoh pilihan raya, termasuk 14 hari tempoh berkempen nanti.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan semua calon, parti politik dan penyokong supaya mematuhi undang-undang serta peraturan pilihan raya yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Beliau turut menegaskan bahawa semua pihak perlu mengelakkan provokasi atau sebarang tindakan yang boleh mencetuskan ketegangan sepanjang tempoh berkempen.

PDRM juga akan terus memantau penyalahgunaan media sosial, termasuk penyebaran berita palsu, fitnah, hasutan dan kandungan yang menyentuh sensitiviti kaum sehingga berpotensi menjejaskan keharmonian masyarakat.

Beliau berharap semua pihak dapat bertindak secara matang dan bertanggungjawab serta saling menghormati bagi memastikan PRN Melaka ke-16 berlangsung dalam suasana aman, selamat dan terkawal.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.