Prasarana diarah percepat selenggara tren, kurangkan kesesakan

Anthony Loke / Foto Fail BERNAMA

SEREMBAN, 31 Oktober – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) diarah mempercepat kerja penyelenggaraan bagi meningkatkan jumlah tren yang beroperasi dan mengurangkan kesesakan penumpang khususnya di Laluan Transit Aliran Ringan (LRT) Kelana Jaya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Isu teknikal dan keperluan penyelenggaraan mengurangkan jumlah tren, menjejaskan kekerapan perkhidmatan.
  • Tren baharu akan diterima berperingkat dalam 6 bulan hingga dua tahun untuk capai kekerapan tiga minit waktu puncak.
  • Perdana Menteri mengarahkan tindakan segera; Rapid KL diminta beri perhatian bagi mengurangkan kesesakan dan gangguan rutin harian rakyat.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, jumlah tren yang beroperasi ketika ini berkurangan susulan masalah teknikal serta keperluan penyelenggaraan, sekali gus menjejaskan kekerapan perkhidmatan.

Keadaan itu mengakibatkan masa menunggu penumpang menjadi lebih panjang hingga mengakibatkan kesesakan di stesen terutama pada waktu puncak.

“Jadi kita cuba yang pertamanya memastikan penyelenggaraan dapat diselesaikan dengan lebih segera supaya memastikan lebih banyak tren dapat beroperasi. Itu untuk jangka masa pendek,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada penyewa dan pemilik rumah yang terjejas kebakaran di kawasan berdekatan UTC Ampangan, di sini.

Bagi penyelesaian jangka sederhana dan panjang, tren baharu dijangka diterima secara berperingkat dalam tempoh enam bulan hingga dua tahun.

Usaha turut dilakukan bagi mencapai kekerapan perkhidmatan setiap tiga minit ketika waktu puncak.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Loke supaya segera menyelesaikan isu kesesakan perkhidmatan tren yang dikhuatiri merencatkan rutin harian rakyat.

Arahan itu dibuat susulan rungutan seorang pengguna di platform Threads mengenai kesesakan di stesen tren laluan berkenaan.

Datuk Seri Anwar yang juga Menteri Kewangan turut meminta Rapid KL memberi perhatian terhadap isu tersebut supaya penyelesaian segera dapat dilaksanakan.

“Kerap kali terjadi dan ia pastinya merencatkan rutin harian rakyat terbanyak.

“Kita mesti lebih peka dan bertindak,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.