
TELUK BAHANG, 31 Oktober – Penganjuran Projek S.A.U.H anjuran MUTIARAfm menjadi platform memperkasa sosioekonomi komuniti nelayan Teluk Bahang menerusi aktiviti kemasyarakatan dan peluang menjana pendapatan.
- Memberi ruang kepada komuniti nelayan terlibat aktif dalam aktiviti ekonomi setempat dan memeriahkan kehidupan mereka.
- Jualan barangan keperluan pada harga berpatutan membantu meringankan kos sara hidup dan menjana pendapatan.
- Menawarkan pelbagai aktiviti seisi keluarga termasuk sukan waktu siang dan persembahan artis pada waktu malam.
- Mendapat sambutan menggalakkan daripada pelbagai lapisan masyarakat dan harapan LKIM teruskan kerjasama agensi media.
Timbalan Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Negeri Pulau Pinang, Ahmad Azreen Alee berkata, penganjuran julung kali di kawasan berkenaan memberi ruang kepada komuniti nelayan untuk melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti ekonomi setempat.
“Di sini ada komuniti nelayan. Jadi, program seperti ini dapat menyediakan aktiviti yang memeriahkan kehidupan mereka. Pada masa sama, aktiviti jualan yang diadakan turut membuka peluang kepada mereka untuk menjana pendapatan.
“Ini merupakan penganjuran julung kali di sini dan pihak LKIM amat menghargai usaha yang dilaksanakan,” katanya pada Program S.A.U.H: Semarak Kasih Mutiara, Nadi Pesisir dan Karnival Komuniti, di Kompleks LKIM, di sini.
Tambah beliau, jualan barangan keperluan pada harga berpatutan membantu meringankan kos sara hidup, manakala LKIM berharap kerjasama strategik bersama agensi media dapat diteruskan bagi memperkasa ekonomi nelayan.
Dalam pada itu, penduduk setempat menyifatkan penganjuran program berkenaan sebagai inisiatif bermanfaat kerana menyediakan peluang mendapatkan barangan keperluan harian pada harga lebih berpatutan, selain menawarkan pelbagai aktiviti untuk seisi keluarga.
Bagi pengunjung, Syafikah Serat, peluang mendapatkan barangan dapur pada harga lebih rendah menerusi aktiviti jualan yang disediakan menjadi antara tarikan utama program berkenaan.
“Dengan adanya jualan seperti ini, penduduk setempat berpeluang membeli barangan pada harga lebih murah. Antaranya sayur-sayuran dan barangan keperluan dapur seperti minyak masak, telur, gula serta tepung,” katanya.
Seorang lagi pengunjung, Ropitah Jais, berkata program seumpama itu membawa kemeriahan kepada penduduk Teluk Bahang, khususnya kerana pelbagai aktiviti hiburan dan kemasyarakatan jarang dianjurkan di kawasan berkenaan.
“Memang bagus program seperti ini diadakan di kawasan kami kerana bukan selalu ada aktiviti sebegini. Apabila ada program yang menyediakan pelbagai aktiviti, termasuk persembahan artis pada waktu malam, penduduk berasa gembira dan dapat meluangkan masa bersama-sama.
“Program ini memang menyeronokkan dan memberi manfaat kepada kami,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Haikal Sanay menyifatkan Projek S.A.U.H sebagai antara program yang mendapat sambutan menggalakkan daripada pelbagai lapisan masyarakat, termasuk kanak-kanak dan golongan remaja.
“Program ini antara yang paling meriah setakat ini. Ramai yang berminat, daripada kanak-kanak hingga golongan remaja. Pada waktu siang, terdapat aktiviti sukan, manakala pada waktu malam pula ada persembahan konsert.
“Terima kasih kepada MUTIARAfm, RTM dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini,” katanya.