
SHAH ALAM, 31 Oktober – Universiti Teknologi MARA (UiTM) memperkukuh usaha meningkatkan kesejahteraan mahasiswa menerusi pelancaran Pitstop HEP @ Fakulti Kejuruteraan Awam (FKA) dan Dapur Ehsan UiTM, hasil kerjasama strategik dengan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).
- Inisiatif gabungkan sokongan kebajikan, peluang menjana pendapatan dan pembangunan keusahawanan untuk tingkatkan keupayaan ekonomi mahasiswa.
- Pitstop HEP sediakan ruang rehat dan akses makanan serta minuman ringan percuma bagi mahasiswa berdepan kekangan kewangan.
- Dapur Ehsan jadikan FKA inkubator keusahawanan MASMED dengan perniagaan dikendalikan mahasiswa di bawah bimbingan universiti.
- Mahasiswa peroleh pengalaman sebenar urus stok, kewangan, pemasaran dan khidmat pelanggan; peluang sambilan untuk asnaf dan keluarga berpendapatan rendah.
Inisiatif itu menggabungkan sokongan kebajikan, peluang menjana pendapatan dan pembangunan keusahawanan bagi membantu mahasiswa meningkatkan keupayaan ekonomi serta membina kemahiran mengurus perniagaan.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM, Profesor Dr. Mohd Sazili Shahibi menerusi kenyataan berkata, usaha memperkasa kesejahteraan mahasiswa perlu melangkaui bantuan keperluan asas dengan menyediakan peluang untuk mereka membangunkan potensi diri dan berdikari.
“Pitstop HEP menyediakan ruang rehat serta akses kepada makanan dan minuman ringan secara percuma, khususnya bagi membantu mahasiswa yang berdepan kekangan kewangan,” katanya.
Pada masa sama, pelancaran Dapur Ehsan UiTM menjadikan FKA sebagai fakulti perintis bagi Inkubator Keusahawanan MASMED, dengan operasi perniagaan dikendalikan sepenuhnya oleh mahasiswa di bawah bimbingan pihak universiti.
Menerusi kerjasama itu, mahasiswa diberi pengalaman mengurus perniagaan sebenar, termasuk pengurusan stok, kewangan, pemasaran dan khidmat pelanggan.
Selain itu, Kiosk We Drink turut menyediakan peluang pekerjaan sambilan serta latihan praktikal kepada mahasiswa daripada golongan asnaf dan keluarga berpendapatan rendah.
Inisiatif berkenaan diharap dapat memperkukuh kemahiran keusahawanan mahasiswa, sekali gus melahirkan graduan yang lebih berdikari dan berupaya mencipta peluang ekonomi sejak di bangku universiti.