Program Ithbat KAFA Pra Tahfiz akan Diperluas ke SRA seluruh negara

Foto Facebook YB Senator Dr Zulkifli Hasan

TANJUNG MINYAK, 28 Oktober – Pelaksanaan Program Ithbat Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) Pra Tahfiz (IKP) akan diperluas ke Sekolah Rendah Agama (SRA) seluruh negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Wilayah Persekutuan menyatakan minat untuk melaksanakan program ini.
  • Tujuan program adalah melahirkan huffaz seawal peringkat sekolah rendah.
  • Projek rintis sejak 2020 di empat SRA JAIM melibatkan 80 murid, 100 peratus lulus, gred purata cemerlang.
  • Keberkesanan rintis membuka jalan pelaksanaan kebangsaan dan menjadikan persijilan Ithbat KAFA Pra Tahfiz kayu ukur rasmi hafazan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata, setakat ini, Wilayah Persekutuan menyatakan minat untuk melaksanakan program ini.

Beliau berkata, program ini dilaksana bagi melahirkan huffaz seawal sekolah rendah.

Keberkesanan program itu terbukti menerusi projek rintis program berkenaan di empat SRA Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) sejak 2020, yang melibatkan 80 murid, mencatat keputusan kelulusan 100 peratus, serta pencapaian gred purata yang cemerlang.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan lebih banyak negeri melaksanakan program itu.

“Seramai 80 orang pelajar yang berjaya melalui program ini dan projek rintis ini telah menunjukkan kecemerlangannya, lulus semuanya tahap cemerlang, 100 peratus yang lulus. Malahan di peringkat mumtaz, mumtaz mutamayyiz, mumtaz ali, dan mumtaz itu adalah majoritinya.

“Insya-Allah, kita akan teruskan program ini di Wilayah Persekutuan dan kita juga melihat bahawa negeri-negeri yang berminat boleh mempertimbangkan untuk melaksanakan program ISBAH Kafa Pratahfiz.

“Tujuannya adalah untuk kita, sebelum ini kita melahirkan huffaz daripada sekolah menengah, tetapi kita nak melahirkan huffaz seawal yang mungkin”, katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Perasmian Majlis Pengumuman Ithbat KAFA Pra Tahfiz Tahun 2026 di SRA JAIM Tanjung Minyak 2.

Dr Zulkifli berkata, keberkesanan projek rintis tersebut membuka jalan kepada pelaksanaan menyeluruh di peringkat kebangsaan sekali gus menjadikan persijilan Ithbat KAFA Pra tahfiz sebagai kayu ukur rasmi hafazan murid sebelum melangkah ke peringkat sekolah menengah.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.