Kebakaran di Hong Kong: Ketua Eksekutif mohon maaf

Foto AFP

HONG KONG, 29 Oktober -Ketua Eksekutif Hong Kong, John Lee memohon maaf pada Khamis atas kebakaran dahsyat yang meragut 168 nyawa, pada 26 November lalu, di kompleks kediaman Wang Fuk Court.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menteri Perumahan meletakkan jawatan selepas laporan mendapati kerajaan turut bertanggungjawab.
  • Laporan menyatakan empat badan kerajaan bertanggungjawab, dengan Biro Perumahan memikul tanggungjawab lebih besar.
  • Pihak berkuasa mengemukakan pertuduhan terhadap tujuh individu dan dua syarikat; sekurang-kurangnya 35 ditahan bantu siasatan.

Manakala Menteri Perumahan bandar itu meletakkan jawatan susulan laporan yang mendapati kerajaan turut bertanggungjawab terhadap tragedi berkenaan.

Tekanan orang ramai supaya kerajaan dipertanggungjawabkan semakin meningkat sejak kejadian itu, dengan pengkritik turut mendesak Lee dan pegawai kanan kerajaan meletakkan jawatan.

Lee berkata, dirinya amat berduka cita dan memohon maaf kepada penduduk yang terjejas serta orang awam.

Laporan itu mendapati empat badan kerajaan perlu memikul sebahagian tanggungjawab terhadap jumlah korban yang tinggi dalam tragedi berkenaan.

Biro Perumahan pula didapati perlu memikul tanggungjawab yang lebih besar.

Siasatan itu melibatkan lebih 30 sesi pendengaran sejak Mac lalu, yang dijalankan oleh sebuah jawatankuasa diketuai hakim bagi mengenal pasti punca kebakaran.

Jawatankuasa itu dimaklumkan bahawa hampir semua langkah keselamatan kebakaran gagal berfungsi pada hari kejadian akibat kesilapan manusia.

Peguam utama jawatankuasa itu, Victor Dawes, pada sesi pendengaran Julai lalu menyifatkan tragedi berkenaan sebagai sesuatu yang boleh dicegah, namun gagal dielakkan, selain boleh dijangka tetapi tidak dijangkakan.

Kompleks kediaman itu menempatkan lebih 4,600 penduduk, termasuk 1,700 individu berusia lebih 65 tahun.

Daripada jumlah keseluruhan mangsa yang terkorban, 114 orang atau kira-kira 70 peratus berusia 65 tahun ke atas.

Pihak berkuasa telah memfailkan pertuduhan, termasuk kesalahan menyebabkan kematian tanpa niat membunuh, terhadap tujuh individu dan dua syarikat berhubung peranan masing-masing dalam tragedi itu.

Sekurang-kurangnya 35 individu turut ditahan bagi membantu siasatan. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.