
BANDARAYA MELAKA, 29 Oktober – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) akan memantau pemasangan bendera dan bahan kempen parti politik sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN).
- Tindakan penguatkuasaan boleh diambil mengikut undang-undang kecil bagi bahan kempen dipasang di lokasi tidak dibenarkan atau melebihi tempoh.
- Individu dan parti diingatkan tidak memasang bendera atau kain rentang di persimpangan jalan yang boleh mengundang kemalangan.
- Pihak yang ingin memasang bahan kempen wajib membayar deposit RM5,000 dan permit iklan RM2,000.
- Parti gagal menurunkan bahan dalam seminggu selepas pilihan raya berisiko kehilangan deposit; bahan ditinggal boleh dilupuskan mengikut peraturan.
Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman berkata tindakan penguatkuasaan juga boleh diambil mengikut undang-undang kecil sedia ada, termasuk terhadap bahan kempen yang dipasang di lokasi tidak dibenarkan atau dibiarkan selepas tamat tempoh ditetapkan.
“Individu atau parti politik yang bertanding juga diingatkan tidak memasang bendera dan kain rentang di persimpangan jalan yang boleh mengundang kemalangan jalan raya,” tegasnya.
Beliau berkata, pihak yang ingin memasang bahan kempen pilihan raya wajib membayar deposit kepada MBMB, masing-masing RM5,000 bagi deposit dan RM2,000 bagi permit iklan.
“Saya pasti selepas penamaan calon pada 31 Oktober, kehangatan pilihan raya akan terasa. Jadi saya menyarankan pada mereka semua supaya pemasangan bendera parti ini di tempat yang sesuai, jangan di tempat terutama di bangunan kerajaan seperti hentian bas, balai raya dan sebagainya,” katanya di sini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, parti politik yang gagal menurunkannya dalam tempoh seminggu selepas pilihan raya berisiko kehilangan deposit, manakala bahan kempen yang ditinggalkan boleh dilupuskan mengikut peraturan berkuat kuasa.