AKPS rampas wang tunai hampir RM3 juta di BSI

Foto AKPS BSI

JOHOR BAHRU, 28 Oktober – Cubaan membawa keluar wang tunai hampir RM3 juta tanpa pengisytiharan ke Singapura berjaya dipatahkan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor Bahru, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rampasan wang tunai RM1.97 juta dan SGD300,000, ditemui dalam tiga kotak, sebuah beg kertas dan sebuah beg galas.
  • Dua warga Malaysia dipercayai pasangan suami isteri, berusia 41 dan 42 tahun, ditahan ketika menuju ke Woodlands.
  • Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan Peraturan-Peraturan Kastam 2019; kegagalan mengisytiharkan wang tunai adalah kesalahan.

Rampasan membabitkan wang tunai berjumlah RM1.97 juta dan SGD300,000 bersamaan kira-kira RM956,000.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AKPS, Datuk Mohd Nasaruddin M. Nasir berkata, dua warga Malaysia dipercayai pasangan suami isteri berusia 41 dan 42 tahun ditahan kira-kira pukul 11.40 pagi ketika menuju ke Woodlands.

“Pasangan tersebut serta semua wang tunai termasuk kenderaan terbabit telah ditahan dan disita untuk diserahkan kepada pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi tindakan selanjutnya”, katanya pada sidang media di pejabat AKPS BSI di sini hari ini.

Wang tunai berkenaan ditemukan di dalam tiga kotak, sebuah beg kertas dan sebuah beg galas berwarna hitam.

Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967, termasuk Peraturan 55(1)(B), Peraturan-Peraturan Kastam 2019.

AKPS menegaskan bahawa kegagalan mengisytiharkan wang tunai yang dibawa masuk atau keluar negara merupakan satu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan undang-undang.

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.